Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan untuk mengekalkan 12 waktu pengajaran seminggu bagi bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (SK), bahasa Cina di SJKC dan bahasa Tamil di SJKT dalam pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027).
Menurut KPM, ketetapan baharu itu dimuktamadkan hasil penelitian serta perbincangan bersama pihak berkepentingan sepanjang sesi libat urus bagi kurikulum masa depan negara.
Peruntukan waktu tidak dikurangkan
“Ketetapan ini memastikan peruntukan waktu pengajaran bahasa berkenaan tidak dikurangkan.
“KPM merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbangkan pandangan. Penguasaan bahasa dan keperluan pembelajaran murid di semua aliran sekolah kekal menjadi keutamaan dalam pembaharuan kurikulum negara,” katanya dalam kenyataan.
Saravanan bantah pengurangan waktu bahasa Tamil
Terdahulu, Timbalan Presiden MIC M Saravanan membantah cadangan mengurangkan waktu pengajaran bahasa Tamil di SJKT daripada 12 kepada 10 waktu seminggu menerusi penyusunan semula KP2027.
Menurut beliau, pengurangan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan guru, ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta masyarakat India. Mereka bimbang terhadap masa depan pendidikan bahasa ibunda berkenaan.
Saravanan berkata, beliau sudah menghantar surat kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada 4 Nov bagi membantah cadangan itu. Salinan surat tersebut turut dikemukakan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.