Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin mendakwa penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter bukanlah hasil tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sebaliknya disebabkan pelarasan harga di peringkat global.
Timbalan Presiden Bersatu itu berkata, beberapa negara ASEAN termasuk Thailand telah menurunkan harga bahan bakar berkenaan sejak beberapa minggu lalu.
“Harga minyak dunia memang sudah turun… itu sebabnya.
Bukan kerana kamu (Anwar) yang turunkan harga RON95,” kata Ahli Parlimen Larut itu pada sidang media di Parlimen.
Semalam, Anwar mengumumkan harga petrol RON95 yang kini berharga RM2.05 seliter akan diturunkan kepada RM1.99 seliter melalui mekanisme subsidi bersasar. Butiran lanjut mengenai subsidi tersebut dijangka diumumkan menjelang akhir September ini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menjelaskan bahawa langkah ini selari dengan pendekatan penyasaran subsidi yang bertujuan memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang memerlukan tanpa menjejaskan rakyat kebanyakan.
Menurut beliau, subsidi petrol RON95 bagi tahun 2023 dan 2024 dianggarkan mencecah hampir RM20 bilion setahun.
Walaupun harga minyak dunia menunjukkan penurunan, harga pasaran sebenar RON95 tanpa subsidi masih sekitar RM2.50 seliter — jauh lebih tinggi berbanding harga subsidi yang dinikmati rakyat ketika ini.