Hassan Karim dari PKR mempersoalkan sama ada Pakatan Harapan (PH), yang tidak mempunyai ideologi sama, mampu bertahan menghadapi politik perkauman yang dimainkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada PRU16.
Dalam satu kenyataan, Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata PKR, Amanah dan DAP telah menerajui kerajaan negeri dan Putrajaya sejak 2008 dengan menggabungkan nilai-nilai utama yang diperjuangkan setiap parti, iaitu keadilan, amanah dan demokrasi.
Soal daya tahan PH selepas PRU16
“Dapatkah PH bertahan untuk menjadi kerajaan persekutuan selepas PRU16 atau terpaksa tumbang dihanyutkan oleh gelombang biru-hijau yang membawa politik berasaskan perpaduan kaum iaitu perpaduan Melayu?” soalnya, merujuk kepada pakatan BN-PN pada PRN Negeri Sembilan dan Melaka.
Hassan juga bertanya sama ada pengundi pada PRU16 akan menolak nilai-nilai yang dipegang parti komponen PH. Sebaliknya, katanya, pengundi mungkin memilih blok politik yang menurut beliau berasaskan sentimen perkauman serta mempunyai rekod rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah.
PAS dikritik bekerjasama dengan Umno
Veteran PKR itu berkata PAS juga telah meninggalkan perjuangan Islam apabila secara terbuka bekerjasama dengan Umno.
“PAS kini dilihat, kerana kuasa, bersedia menghalalkan rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah jenayah dengan mensucikan segala jenayah berkait 1MDB, SRC, Tabung Haji dan Felda yang terang-terangan mengkhianati orang Melayu dan rakyat Malaysia,” katanya.
Naratif Melayu-Muslim bercanggah dengan Islam
Hassan turut menolak naratif Melayu-Muslim yang diperjuangkan Umno dan PAS. Menurut beliau, naratif itu bertentangan dengan ajaran Islam yang tidak pernah membenarkan assabiyah, iaitu semangat kekitaan berasaskan kaum.
“Islam tidak pernah dan tidak akan membenarkan ianya bersekutu dengan perjuangan berasaskan kaum.
“Sejak zaman Nabi Muhammad lebih 1,400 tahun lalu hingga kini dan selamanya, Islam adalah agama yang menentang fahaman perkauman yang sempit,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.