Tindakan seorang wanita di Kabupaten Lampung Utara, Lampung, tular di media sosial. Hancur hati selepas mengetahui suaminya curang, Muslimah, 37, nekad merobohkan rumah yang dibinanya hasil titik peluh bertahun-tahun sebagai pekerja wanita (TKW) di Hong Kong.
Rumah di Desa Surakarta, Kecamatan Abung Timur itu dirobohkan menggunakan jentera berat ekskavator pada Rabu, 11 November 2026. Dinding bangunan yang selama ini menjadi tempat tinggalnya kini rata dengan tanah.
Keputusan ekstrem itu diambil Muslimah selepas dia memergoki suaminya, Rawan, yang disyaki menjalinkan hubungan dengan wanita lain.
Rumah tersebut sebenarnya bukan dibina daripada pemberian suaminya. Seluruh kos pembinaan datang daripada simpanan dan hasil keringat Muslimah sepanjang bertahun-tahun bekerja di Hong Kong.
Sebelum rumah itu dirobohkan, Rawan dikatakan sempat menawarkan wang pampasan sebanyak Rp150 juta supaya rumah itu tidak dihancurkan. Namun, Muslimah menolak tawaran tersebut.
Baginya, wang ratusan juta rupiah tidak setanding dengan luka akibat pengkhianatan yang ditanggungnya.
“Rumah itu murni hasil kerja keras saya di Hong Kong, manakala tanahnya milik mentua saya. Jadi, hasil keringat saya dari luar negara saya hancurkan, kemudian tanahnya saya pulangkan bersih kepada mentua saya,” tegas Muslimah pada Isnin, 16 November 2026.
Penduduk bergotong-royong, runtuhan dimanfaatkan
Sebelum ekskavator mula menghentam dinding, penduduk sekitar turut bergotong-royong membantu menanggalkan beberapa bahagian rumah. Genting, bingkai kayu dan daun tingkap dilucutkan terlebih dahulu kerana diminta semula oleh pihak keluarga.
Selepas bangunan roboh, puing tembok yang berselerak ternyata tidak dibuang begitu sahaja. Penduduk mengangkut bahan runtuhan dengan lori untuk menambak jalan kampung yang berlubang dan meratakan kawasan kebun setempat.
Proses perobohan yang disaksikan penduduk itu berlangsung dengan aman tanpa sebarang pertembungan fizikal.
Suami setuju tidak mengambil tindakan undang-undang
Bagi mengelakkan masalah rumah tangga itu berlarutan menjadi konflik, Polsek Abung Timur turut mengawal proses penyelesaian melalui musyawarah desa atau rembuk pekon.
Sesi pengantaraan dipimpin Bhabinkamtibmas Wahyudi Utama bersama Ketua Unit SPKT II Giantrie. Pertemuan itu turut disertai ketua RT, tokoh masyarakat dan wakil kedua-dua keluarga.
Hasilnya, kedua-dua pihak bersetuju menandatangani surat perjanjian. Dalam persetujuan itu, pihak suami merelakan bangunan rumah dirobohkan sepenuhnya dan berjanji tidak akan mengemukakan tuntutan undang-undang pada masa depan berhubung perobohan tersebut.
Ketua Seksyen Perhubungan Awam Polres Lampung Utara, Herawati, berkata kehadiran polis bertujuan memastikan proses perobohan berjalan dengan selamat serta mencegah timbulnya konflik dalam kalangan masyarakat.
“Polri hadir memberikan penyelesaian yang berperikemanusiaan melalui muafakat. Kami mengutamakan pendekatan pujukan supaya masalah rumah tangga ini selesai di tempat dan tidak meninggalkan pertikaian berpanjangan,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.