
Oleh Nurhidayah Che Rose
Srikandi KEADILAN Malaysia mengambil maklum reaksi berterusan pelbagai pihak berkenaan isu pelantikan Ketua Hakim Negara (KHN) yang masih belum dimuktamadkan. Kami menzahirkan pendirian bahawa sebarang isu berkaitan institusi kehakiman mestilah ditangani dengan berhati-hati berasaskan fakta dan selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, Srikandi KEADILAN ingin mengingatkan bahawa proses pelantikan Ketua Hakim Negara telah pun diperincikan dalam Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan ia dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas mempertimbang syor daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC). Proses ini telah lama diamalkan dengan telus dan berperlembagaan.
Kenyataan yang menyebut bahawa ketiadaan Ketua Hakim Negara menyebabkan “mahkamah lumpuh” adalah tidak tepat dan mengelirukan rakyat. Berdasarkan Perkara 122(2), Mahkamah Persekutuan boleh bersidang selagi mempunyai bilangan hakim yang mencukupi. Malah, sistem kehakiman kita berfungsi melalui struktur yang tersusun termasuk Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan Majistret yang masih beroperasi seperti biasa.
Srikandi KEADILAN juga merakamkan penghargaan kepada rakyat yang turun menyertai perarakan aman petang semalam, termasuk kehadiran Timbalan Presiden Saudari Nurul Izzah Anwar yang turut berada di tengah masyarakat. Perarakan ini berlangsung dalam suasana tertib dan berdisiplin menandakan kematangan politik rakyat Malaysia dalam menyuarakan pandangan secara demokratik.
Kehadiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan wanita, belia dan pemimpin pelapis memperlihatkan betapa rakyat hari ini lebih celik terhadap prinsip demokrasi kedaulatan undang-undang dan integriti institusi negara.
Srikandi KEADILAN menyeru semua pihak, termasuk Ahli Parlimen dan pemimpin politik agar lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan awam. Jangan sesekali mempermainkan isu pelantikan kehakiman untuk tujuan politik sempit. Kita wajib memelihara kredibiliti institusi kehakiman, bukan merosakkannya demi agenda peribadi.
Nurhidayah Che Rose
Ketua Srikandi KEADILAN Malaysia
Kongsi pandangan atau idea anda bersama kami. Hantar ke editorial@asianewshub.com.