
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tiada campur tangan politik atau tekanan dalam proses pelantikan jawatan penting dalam institusi kehakiman, walaupun wujud kebimbangan dan persepsi negatif yang ditimbulkan pihak tertentu.
“Saya mengakui wujud keresahan dalam isu ini yang mungkin menimbulkan persepsi seolah-olah terdapat gangguan terhadap proses pelantikan kehakiman. Namun saya boleh memberi jaminan bahawa perkara tersebut tidak berlaku.
“Saya percaya rakan-rakan dalam bidang perundangan memahami bahawa kita harus berpegang kepada undang-undang dan fakta, bukan persepsi. Persepsi adalah urusan ahli politik. Hanya dengan memisahkan persepsi daripada fakta kita dapat mentadbir dengan baik,” katanya dalam ucapan penutup Persidangan Antarabangsa Integriti dan Tadbir Urus 2025, hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said dan Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar turut berharap agar Majlis Peguam tidak terpengaruh dengan persepsi semata-mata kerana menurutnya, walaupun penafian telah dibuat dengan tegas, masih ada pihak yang tidak berpuas hati, mungkin disebabkan oleh sentimen politik tertentu.
Beliau mengulangi bahawa Kerajaan MADANI kekal komited kepada prinsip kebebasan kehakiman dan pelaksanaan reformasi institusi.
“Saya tidak mahu Majlis Peguam mendakwa keputusan dibuat atas tekanan. Hakikatnya, Azalina dan Ketua Setiausaha Negara mengetahui bahawa tiada sebarang kes atau nama kontroversi pernah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja.
“Sepanjang lebih dua setengah tahun saya menjadi Perdana Menteri, saya tidak pernah membincangkan sebarang kes dengan mana-mana hakim, termasuk Ketua Hakim Negara. Saya berpegang teguh kepada prinsip kebebasan kehakiman,” katanya.
Anwar turut memaklumkan bahawa satu pengumuman rasmi oleh Majlis Raja-Raja berhubung pelantikan jawatan tertinggi kehakiman dijangka dibuat esok, susulan perbincangan panjang yang berlangsung pagi ini.
“Biarlah Majlis Raja-Raja membuat keputusan. Insya-Allah, pengumuman esok akan menolak segala persepsi negatif dan membuktikan bahawa kerajaan ini benar-benar komited kepada reformasi dan prinsip kebebasan institusi kehakiman,” katanya.