
Pemuda Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menuntut kerajaan negeri memberi penjelasan lanjut mengenai keputusan menggantung setiausaha kerajaan negeri (SUK) dan penasihat undang-undang negeri itu.
Menurut mereka, kerajaan negeri wajar menjelaskan sama ada tindakan berkenaan ada kaitan dengan pandangan atau nasihat profesional yang pernah diberikan oleh Zafir Ibrahim dan Muzalmah Mustapha Kamal berhubung krisis perlembagaan yang sedang berlaku sekarang.
“Persoalannya mudah saja, mengapa mereka digantung dan mengapa waktu ini pula yang dipilih?” kata Pemuda PH dalam satu kenyataan.
Ditambah, kedua-dua jawatan itu memainkan peranan penting dalam memberi nasihat pentadbiran dan perundangan kepada kerajaan negeri, apatah lagi ketika Negeri Sembilan sedang menghadapi krisis perlembagaan yang agak serius.
Majlis Mesyuarat putuskan penggantungan serta-merta
Sebelum ini, Menteri Besar Ismail Lasim dilaporkan menyatakan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebulat suara bersetuju menggantung tugas Zafir dan Muzalmah dengan kuat kuasa serta-merta, susulan status exco yang menjadi pertikaian selepas Yang Dipertuan Besar membatalkan pelantikan mereka sehari sebelumnya.
Beliau turut menyatakan notis penggantungan SUK dan penasihat undang-undang negeri itu akan dimaklumkan kepada ketua setiausaha negara, Jabatan Perkhidmatan Awam serta Jabatan Peguam Negara.
Pengumuman ini pula muncul beberapa hari selepas Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan pihaknya tidak akan meneruskan permohonan Ismail untuk mewartakan proklamasi berkaitan dakwaan pelucutan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar.
Jangan wujud tanggapan “siapa halang, kita singkir”
Pemuda PH Negeri Sembilan berpandangan, sekiranya dua pegawai kanan itu didapati melakukan kesalahan atau berdepan isu tatatertib, kerajaan negeri perlu menjelaskan asas tindakan tersebut serta proses yang sedang berjalan.
“Jika penggantungan ini langsung tidak berkaitan dengan krisis perlembagaan, nyatakan secara jelas kepada rakyat. Jangan sampai timbul persepsi bahawa setiap kali ada pihak yang menghalang, semuanya terus disingkirkan,” katanya.
Mereka menegaskan, Negeri Sembilan memerlukan pentadbiran yang menghormati undang-undang, proses serta institusi, bukan budaya “siapa halang, kita singkir”.
Mengingatkan semula peristiwa 2015
Pemuda PH turut menyatakan perkembangan ini mengingatkan rakyat kepada pergolakan politik pada 2015, ketika kontroversi 1MDB sedang memuncak.
Ketika itu, Peguam Negara yang mengetuai pasukan petugas pelbagai agensi bagi siasatan 1MDB, Abdul Gani Patail, digantikan. Pada hari yang sama juga, Muhyiddin Yassin digugurkan daripada jawatan timbalan perdana menteri selepas mengkritik cara kerajaan mengendalikan isu berkenaan.
“Jangan ulangi politik lama. Rakyat berhak bertanya sama ada budaya politik seperti ini sedang berulang, di mana sesiapa yang menghalang, mempertikai atau memberi nasihat yang tidak mahu didengar, akhirnya disingkirkan begitu sahaja.
“Jika bukan demikian, kerajaan negeri wajar menjelaskannya dengan segera,” katanya, sambil menegaskan sejarah 2015 tidak boleh berulang.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.