Semua pihak bebas membuat analisis mengenai keputusan PRN Melaka, kata Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, mengulas dakwaan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berpeluang merampas kerusinya pada PRU16.
Ketua DAP Melaka itu berkata, partinya pada masa sama akan terus mempergiat gerak kerja dan memperbetulkan kelemahan bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Menurutnya, DAP akan meneliti keputusan PRN 14 Nov lalu bagi mengenal pasti kelemahan, selain meneruskan usaha mendapatkan sokongan pengundi.
“Sesiapa boleh buat analisis masing-masing. Itu terpulang kepada mereka.
“Kita akan terus bekerja dan buat yang terbaik untuk mendapat sokongan pengundi,” katanya kepada FMT.
Dakwaan BN-PN boleh rampas Kota Melaka
Khoo berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan BN dan PN berpeluang merampas kerusi Parlimen Kota Melaka daripada DAP berdasarkan keputusan PRN baru-baru ini.
Semalam, Ketua Umno Kota Melaka, Abdul Razak Abdul Rahman, mendakwa kerjasama BN-PN berpotensi merampas kerusi Parlimen itu daripada DAP berdasarkan keputusan di lima DUN di bawah Kota Melaka.
Razak yang juga Adun Telok Mas berkata, Pakatan Harapan (PH) memperoleh keseluruhan 56,455 undi di lima DUN berkenaan, berbanding 50,976 undi diraih BN dan PN. Jurang antara kedua-dua pihak hanya 5,479 undi.
Menurut Razak, keputusan itu menunjukkan perubahan ketara berbanding PRU15 apabila PH memenangi Parlimen Kota Melaka dengan majoriti 46,420 undi. Pada PRU 2022 itu, PN menerusi Gerakan memperoleh 27,575 undi manakala BN menerusi MCA mendapat 20,686 undi.
Beliau percaya kerjasama BN-PN serta strategi yang tepat boleh membuka laluan untuk merampas kerusi tersebut.
Keputusan lima DUN di bawah Kota Melaka
Pada PRN Melaka, DAP mempertahankan tiga daripada lima DUN di bawah Parlimen Kota Melaka, iaitu Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.
Dua lagi kerusi, Duyong dan Telok Mas, dimenangi BN menerusi Umno dengan majoriti melebihi 10,000 undi setiap satu.
Razak turut mendakwa keputusan itu membuktikan keberkesanan pemindahan undi antara BN dan PN. Menurutnya, perkara itu perlu diambil kira dalam merangka strategi serta pembahagian kerusi menjelang PRU16.
Khoo: Kami berkhidmat untuk semua
Sementara itu, ditanya sama ada DAP akan memberi tumpuan untuk menarik sokongan pengundi rentas kaum selepas mempertahankan tiga DUN berkenaan, Khoo menegaskan partinya akan terus berkhidmat kepada semua tanpa mengira kecenderungan politik.
“Kita akan berkhidmat untuk semua orang, tidak kira siapa mereka. Kita akan buat yang terbaik, tak kisah mereka lambang apa,” kata penyandang Parlimen Kota Melaka sejak 2018 itu.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.