Umno dilihat tidak berdepan banyak tekanan untuk melakukan perubahan jika keupayaan meraih sokongan pengundi kekal menjadi keutamaan bakal rakan gabungan, berbanding rekodnya semasa dalam kerajaan. Demikian pandangan beberapa penganalisis.
Penganalisis politik Syaza Shukri berkata, sokongan akar umbi yang lebih kukuh memberi kelebihan kepada parti itu untuk berunding bagi mendapatkan kedudukan dalam kerajaan. Justeru, Umno boleh mengetepikan tuntutan kebertanggungjawaban terhadap kegagalan lalu semasa mentadbir.
“Akhirnya, ia akan menjadi kuasa tawar-menawar di Parlimen,” katanya ketika ditanya sama ada prestasi Umno sebelum ini dalam kerajaan akan mempengaruhi pelantikan Kabinet pada masa depan.
Kebertanggungjawaban bukan keutamaan
Menurut Syaza, kitaran politik Malaysia yang singkat, dengan tempoh tiga hingga lima tahun antara pilihan raya, menjadikan usaha menerapkan tadbir urus baik untuk beberapa dekad mendatang berada pada kedudukan rendah dalam senarai keutamaan.
Ketika ini, katanya, Umno berjaya menangkis cubaan mengaitkan parti itu secara langsung dengan kegagalan institusi. Sebaliknya, parti tersebut meletakkan kegagalan ke atas individu tertentu, manakala penyokong tegarnya memandang ringan peranan parti dalam kemelut yang berlaku.
Beliau turut memberi amaran supaya kegagalan institusi seperti 1MDB, Lembaga Tabung Haji dan projek kapal tempur pesisir (LCS) tidak ditolak sebagai “isu lama”.
Namun, Syaza berkata, tidak patut diandaikan bahawa pengundi yang mengambil berat tentang kredibiliti atau rekod prestasi Umno akan secara automatik mengundi Pakatan Harapan (PH). Menurutnya, pengundi terbabit mungkin turut mempersoalkan kredibiliti dan kebolehpercayaan PH.
Beliau berkata, serangan berulang kali terhadap Umno oleh seterunya juga boleh dilihat bermotifkan dendam, dan berpotensi membangkitkan semangat penyokong parti itu untuk keluar beramai-ramai memaparkan sokongan.
“Perkara itu akan merumitkan usaha menjadikan kegagalan tadbir urus sebagai kayu ukur pada pilihan raya,” katanya.
Umno tidak mungkin berubah, kata James Chin
Bagi James Chin dari Universiti Tasmania, prospek yang dihadapi lebih suram. Katanya, Umno mampu memperoleh semula kuasa tanpa perlu mengubah budaya dalamannya, dan keadaan itu menjadi kemungkinan nyata jika kerjasama dengan PAS terbukti mengukuhkan sokongan orang Melayu.
Chin berkata, parti itu pernah menganggap pembaharuan sebagai rancangan jangka pendek yang perlu dilakukan susulan kekalahannya pada PRU 2018. Bagaimanapun, alternatif yang lebih menguntungkan berkisar pada pakatan politik.
“Tidak mungkin Umno berubah,” katanya.
Menurut beliau, prospek mendapatkan kuasa melalui kerjasama dengan PAS melemahkan dorongan untuk melaksanakan pembaharuan dalaman yang bermakna. Pada masa sama, persaingan politik yang memecahbelahkan tidak meninggalkan banyak ruang untuk kebertanggungjawaban yang berkesan.
Chin turut berkata, tekanan kos sara hidup serta pelbagai tuntutan lain yang menjadi tumpuan pengundi akan meletakkan soal kebertanggungjawaban pada kedudukan lebih rendah dalam senarai keutamaan, walaupun mereka kekal bimbang mengenai kegagalan tadbir urus.
Pengaruh politik sahaja tidak cukup
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya pula menawarkan perspektif berbeza mengenai cabaran yang dihadapi Umno.
Beliau berkata, kekuatan di Parlimen tidak semestinya menjadi ukuran tunggal untuk menilai sumbangan parti itu kepada sesebuah gabungan. Kegagalan lalu juga, katanya, tidak wajar menentukan keupayaannya mentadbir secara kekal.
“Pelantikan Kabinet sudah tentu perlu mencerminkan kecekapan, integriti dan pengalaman pentadbiran, bukannya berdasarkan jumlah kerusi Parlimen semata-mata,” katanya.
Menurut Awang Azman, Umno mampu menyumbang kepada pengetahuan institusi, kesinambungan pentadbiran serta pemahaman terhadap keperluan pembangunan akar umbi.
“Dalam politik gabungan, kekuatan di Parlimen sememangnya penting, namun keupayaan mentadbir juga sama penting,” katanya.
Beliau berpendapat parti politik wajar diberi peluang untuk berubah, dengan syarat mereka menunjukkan kebertanggungjawaban dalaman yang lebih kental serta kepimpinan yang bercirikan integriti dan kecekapan profesional.
Bagi Syaza pula, Umno sebenarnya telah diberi peluang menunjukkan perubahan sedemikian menerusi penyertaannya dalam pentadbiran persekutuan di bawah kerajaan perpaduan. Katanya, mengakui kelemahan sendiri menjadi titik permulaan yang baik, berbanding menangkis kritikan dengan menuding jari kepada kegagalan parti lain.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.