PAS memutuskan untuk tidak meletakkan calon pada PRN Sarawak pada 12 Disember ini.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan politik semasa serta pelbagai pertimbangan lain.
“PAS akan terus memberikan komitmen terhadap usaha memperkukuh perpaduan, kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat selaras dasar serta prinsip perjuangan parti,” katanya dalam kenyataan.
Belum pernah menang kerusi di Sarawak
PAS mula bertanding kerusi DUN Sarawak pada PRN 2001 dengan meletakkan tiga calon. Bagaimanapun, parti Islam itu belum pernah memenangi sebarang kerusi di negeri berkenaan.
Pada PRN 2021, PAS bertanding di Beting Maro, kawasan majoriti Melayu-Melanau, tetapi tewas kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan majoriti 1,711 undi.
Calon PAS memperoleh 2,058 undi, mengatasi calon PKR yang mendapat 765 undi dan Parti Bumi Kenyalang yang meraih 74 undi.
Kali terakhir pada 1996
Kali terakhir PAS tidak bertanding dalam PRN Sarawak adalah pada 1996, ketika 62 kerusi dipertaruhkan. Pada masa itu, komponen GPS masih berada dalam Barisan Nasional.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.