
Kualiti udara di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia kini berada pada tahap tidak sihat.
Menurut bacaan setiap jam yang diterbitkan di laman Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar, setakat jam 9 pagi hari ini, lapan lokasi mencatatkan bacaan API tidak sihat dengan Alor Gajah, Melaka mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 160.
Lokasi lain yang terjejas termasuk Temerloh, Pahang (156); Banting, Selangor (155); Nilai, Negeri Sembilan (155); Kemaman, Terengganu (153); Johan Setia, Selangor (152); Cheras, Kuala Lumpur (151); dan Putrajaya (124).
Sementara itu, 57 kawasan lain mencatatkan kualiti udara pada tahap sederhana.
Bacaan API dikategorikan seperti berikut: 0–50 (baik), 51–100 (sederhana), 101–200 (tidak sihat), 201–300 (sangat tidak sihat), dan lebih 300 (berbahaya).
Menurut laporan Reuters, Indonesia memulakan operasi pembenihan awan di wilayah Riau hari ini untuk menangani kebakaran hutan dan tanah yang semakin memuncak sehingga menyebabkan jerebu merentasi sempadan ke beberapa bahagian Malaysia. Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Indonesia memaklumkan operasi tersebut akan diteruskan sekurang-kurangnya selama tujuh hari.
Data dari agensi meteorologi, klimatologi dan geofizik Indonesia menunjukkan terdapat 1,208 titik panas di seluruh Sumatera setakat Ahad lalu, dengan 586 daripadanya berada di Riau. Penyiar Metro TV Indonesia melaporkan bahawa jerebu dari kebakaran ini telah pun sampai ke beberapa bahagian Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Wan Abdul Latiff Wan Jaafar semalam berkata kemerosotan kualiti udara di kawasan pantai barat dalam tempoh 24 jam lalu dipengaruhi pergerakan asap dan jerebu dari negara jiran.
“Tiada kebakaran besar dikesan dalam negara,” tambahnya.