
Sekurang-kurangnya sembilan orang maut manakala beberapa lagi cedera selepas sebuah kereta meletup berhampiran Red Fort, New Delhi pada Isnin malam.
Letupan berlaku beberapa minit sebelum jam 7 malam waktu tempatan (1.30 tengah hari GMT) berhampiran stesen metro Red Fort, menyebabkan mayat bergelimpangan di jalan dan kebakaran besar yang memusnahkan beberapa kenderaan berhampiran.
Media tempatan melaporkan bahawa pasukan penyiasat sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengenal pasti punca letupan dan menjejaki pergerakan kenderaan terlibat.
Polis Delhi telah membuka siasatan di bawah Akta Pencegahan Aktiviti Haram (UAPA) , undang-undang utama antikeganasan India, bersama Akta Bahan Letupan dan peruntukan jenayah lain.
Menteri Dalam Negeri, Amit Shah berkata siasatan sedang dijalankan “dari semua sudut” bagi menentukan sama ada unsur keganasan terlibat.
Polis mengesahkan pemilik kenderaan tersebut telah ditahan di Gurugram, berhampiran New Delhi.
Susulan kejadian itu, pihak berkuasa telah mengeluarkan amaran keselamatan di beberapa stesen kereta api utama termasuk di Mumbai dan Uttar Pradesh, selain memperketat kawalan keselamatan di seluruh New Delhi.
Ini merupakan letupan besar pertama di ibu negara India dalam tempoh lebih 10 tahun.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.