Pakatan Harapan (PH) perlu menangani kelesuan pengundi, memastikan pertumbuhan ekonomi turut dinikmati rakyat biasa serta menangkis politik perkauman jika mahu meraih semula sokongan rakyat menjelang PRU akan datang, kata Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook.
Loke berkata, semangat dalam kalangan penyokong PH sendiri semakin luntur sejak 2018, dan kelesuan itu semakin ketara selepas PRN Sabah, Melaka dan Johor.
Beliau berkata, PH tidak lagi boleh menganggap sokongan tradisinya sebagai terjamin. Sebaliknya, gabungan itu perlu memberikan alasan kukuh kepada pengundi untuk keluar mengundi dan menyokong PH pada PRU akan datang.
“Pada 2018, semua orang begitu bersemangat. Pada 2022, saya fikir semangat itu masih ada untuk mendapatkan semula mandat berikutan Langkah Sheraton. Ramai yang sangat marah.
“Tetapi sekarang, sudah tentu selepas pilihan raya di Sabah, Melaka dan Johor, kelesuan itu memang wujud. Jadi, kita perlu menangani kelesuan,” katanya dalam temu bual menerusi podcast Ngopi Dengan Zafrul kendalian Tengku Zafrul Aziz.
Langkah Sheraton merujuk kepada gerakan politik pada Februari 2020 yang membawa kepada kejatuhan kerajaan PH.
Tunai janji dan pastikan manfaat ekonomi sampai kepada rakyat
Loke berkata, PH perlu membuktikan bahawa gabungan itu masih pilihan yang lebih baik dengan menunaikan janji serta menunjukkan hasil yang nyata. Beliau menggesa kerajaan mempercepat pelaksanaan dasar dan pembaharuannya sepanjang baki tempoh setahun sebelum PRU akan datang.
Beliau mengakui petunjuk ekonomi negara menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan, dengan pertumbuhan kukuh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), perdagangan dan pelaburan, selain kadar pengangguran yang rendah.
Bagaimanapun, katanya, manfaat perkembangan itu masih belum cukup dirasai perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Kebanyakan PKS berdepan peningkatan kos, margin keuntungan yang semakin mengecil serta persaingan yang lebih sengit.
“Saya fikir satu perkara yang nyata ialah perniagaan kecil mungkin sedang bergelut akibat tekanan kos, margin keuntungan mereka mungkin semakin mengecil dan mereka berdepan persekitaran yang lebih kompetitif,” katanya.
Cabaran ketiga ialah pengaruh berterusan politik berasaskan kaum dan agama, yang menurut Loke, masih menjadi halangan besar kepada PH.
Beliau berkata, DAP sejak berdekad-dekad lalu digambarkan sebagai anti-Melayu dan anti-Islam. Gambaran itu menyukarkan parti tersebut meyakinkan pengundi sebaliknya, meskipun telah menyertai kerajaan. Katanya, sentimen politik sering lebih mempengaruhi pengundi berbanding penjelasan secara rasional.
Namun, beliau berkata PH tidak seharusnya menyalahkan segala-galanya terhadap politik identiti.
“Kita perlu mengakui bahawa politik identiti merupakan isu yang sangat mencabar dalam politik Malaysia. Namun, pada masa sama, kita juga perlu melihat kelemahan kita sendiri dan menanganinya,” katanya.
Loke berkata, PH perlu menjelaskan kepada rakyat Malaysia prinsip dan hala tujunya, selain meyakinkan mereka bahawa visi gabungan itu di bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menawarkan hala tuju yang lebih baik untuk negara.
Kerjasama persekutuan tidak mampan jika bersaing dalam PRN
Dalam temu bual yang sama, Loke berkata kerajaan perpaduan tidak mampu mengekalkan kerjasama jika parti sekutu bekerjasama di Putrajaya, tetapi bersaing dalam PRN.
Katanya, beliau telah memberi amaran kepada Setiausaha Agung PH, Saifuddin Nasution Ismail, mengenai perkara itu ketika kerajaan perpaduan dibentuk pada 2022. Ketika itu, beliau merujuk kejatuhan pentadbiran Muhyiddin Yassin sebagai pengajaran.
Menurutnya, gabungan pemerintah terdahulu di bawah pimpinan Muhyiddin dan kemudian Ismail Sabri Yaakob tumbang selepas sekutu di peringkat persekutuan bertembung sesama sendiri dalam PRN Sabah, Melaka serta Johor.
“Saya beritahu Saifuddin sejak awal lagi perkara ini perlu dielakkan. Kita mesti mengelakkan pertembungan pelbagai penjuru antara rakan gabungan kita dalam kerajaan persekutuan,” katanya.
Ditanya sama ada kerjasama itu masih boleh diteruskan, Loke berkata: “Saya tidak fikir keadaan ini mampan. Untuk memastikan sesebuah gabungan yang benar-benar kukuh dapat bertahan di peringkat persekutuan, kerjasama itu juga mesti merentasi peringkat negeri.”
Beliau berkata, sukar untuk parti terus menjadi rakan kerjasama di Putrajaya sementara menjadi seteru dalam kerajaan negeri. Keadaan itu boleh mengelirukan pengundi mengenai pihak yang wajar diberikan kredit atas pencapaian kerajaan.
Loke berkata, kerajaan perpaduan berjaya mengelakkan pertembungan sedemikian dalam tempoh tiga tahun pertama, termasuk dalam enam PRN ketika PH dan Barisan Nasional (BN) bertanding bersama.
Bagaimanapun, ketegangan kembali timbul sejak beberapa bulan ini, khasnya selepas PRN Sabah serta perkembangan di Johor.
DAP tawar diri tidak sertai kerajaan pada 2022
Loke mengimbau bagaimana DAP bersedia untuk tidak menyertai kerajaan perpaduan jika itu syarat yang perlu dipenuhi bagi membolehkan Anwar dilantik perdana menteri selepas PRU15 pada 2022, yang menyaksikan negara julung kali mengalami Parlimen tergantung.
“Saya beritahu Anwar, sila pergi ke istana. Pastikan anda bersetuju dengan apa sahaja syarat ditetapkan bagi membolehkan anda menjadi perdana menteri.
“Walaupun syaratnya ialah DAP bukan sebahagian daripada kerajaan, kami bersedia menyokong anda dan saya juga bersedia tidak berada dalam Kabinet. Buatlah perjanjian itu dan teruskan,” katanya.
Menurut Loke, Anwar menolak cadangan itu dan bertegas bahawa DAP perlu menjadi sebahagian daripada kerajaan.
Bekas menteri pengangkutan itu berkata, beliau pernah menawarkan diri untuk ke Sarawak bagi memohon maaf kepada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Abang Johari Openg, jika DAP dilihat menjadi penghalang dalam rundingan pembentukan kerajaan ketika itu. Beliau berkata, matlamat utama ialah memastikan Anwar dilantik perdana menteri dan kestabilan politik negara dapat dipulihkan.
Jelasnya, keputusan DAP kekal dalam kerajaan perpaduan bukan pendirian peribadinya semata-mata, sebaliknya keputusan bersama yang disahkan melalui undian sulit pada Kongres Kebangsaan DAP.
Menurutnya, DAP akan terus menyuarakan bantahan terhadap isu yang tidak dipersetujui parti, tetapi tidak akan mengambil tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan kerajaan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.