
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengucapkan selamat menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 kepada Mahathir Mohamad, tokoh yang pernah menerajui negara selama beberapa dekad.
Dalam kenyataannya, Anwar mendoakan agar bekas perdana menteri itu terus dikurniakan kesihatan yang baik, ketenangan jiwa serta kekuatan fizikal untuk menjalani kehidupan yang bermakna dan bermanfaat.
“Gaya hidup sihat serta amal bakti yang tidak pernah terhenti menjadi teladan kepada sebuah negara yang sedang menua, namun tetap menyimpan harapan tinggi untuk masa depan.
“Semoga Allah terus melimpahkan rahmat ke atas Tun, Insya-Allah,” katanya.
Mahathir, yang merupakan anak bongsu daripada sembilan adik-beradik, dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Alor Setar, Kedah.
Dikenali sebagai ‘Bapa Pemodenan Malaysia’, beliau merupakan perdana menteri paling lama berkhidmat dalam sejarah negara.
Beliau menerajui kerajaan Barisan Nasional dari tahun 1981 hingga 2003, sebelum kembali ke tampuk pemerintahan sebagai Perdana Menteri ke-7 dari Mei 2018 hingga Februari 2020 menerusi pentadbiran Pakatan Harapan, selepas berjaya menumbangkan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14.