Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar mengingatkan Umno dan Barisan Nasional (BN) supaya tidak “main kayu tiga” dengan terus menikmati kuasa dalam kerajaan sambil bekerjasama dengan PAS untuk menentang Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan, yang mendakwa PH masih berkelakuan seperti pembangkang walaupun sudah menjadi kerajaan.
Kenyataan Mohamad Hasan
Mohamad, yang juga timbalan presiden Umno, semalam dipetik berkata parti kerajaan sepatutnya mengetengahkan pencapaian dan perancangan kerajaan bagi meyakinkan rakyat.
Menurutnya, parti kerajaan tidak sepatutnya menyerang atau memburukkan parti lawan sepanjang kempen PRN Melaka.
Mahfuz persoal kerjasama dengan PAS-PN
Mengulas perkara itu, Mahfuz mempersoalkan tindakan Umno-BN yang masih menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat, tetapi bekerjasama dengan PAS-PN untuk berdepan PH pada PRN.
“Umno-BN bukan sahaja bekerjasama dengan PAS dan PN, malah bergerak dengan manifesto dan strategi pilihan raya bersama. Ini bukan lagi sekadar perbezaan pendapat, tetapi percanggahan politik yang nyata.
“Kalau sudah jatuh hati pada ‘janda lama’ PAS dan PN, jangan terus berpura-pura setia kepada PH. Jangan main kayu tiga,” katanya dalam kenyataan.
Mahfuz berkata, Umno dan BN seolah-olah mengamalkan politik dua hala apabila menikmati kedudukan dalam kerajaan bersama PH di Putrajaya, tetapi memilih untuk bergandingan dengan gabungan yang menentang PH dalam pilihan raya.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana PH boleh dianggap berkelakuan seperti pembangkang kerana mengkritik BN, sedangkan BN sendiri bekerjasama dengan PAS-PN untuk menewaskan rakan kerajaan itu.
Gesaan buat keputusan jelas
Sehubungan itu, Mahfuz menggesa Umno-BN membuat keputusan jelas mengenai kedudukannya dalam kerajaan jika turut memilih PAS dan PN menjadi rakan strategik politiknya.
“Jika Umno-BN sudah memilih PAS dan PN sebagai rakan strategik politik untuk menentang PH, mereka perlu berani membuat keputusan tentang kedudukan sendiri dalam kerajaan,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.