
Bruno Fernandes menjaringkan satu gol dan mencipta satu lagi bantuan jaringan untuk membantu Manchester United seri 2-2 menentang Everton sekali gus menamatkan kempen mereka dengan trofi Siri Musim Panas Liga Perdana Inggeris.
‘The Red Devils’ mengutip satu mata terakhir di Atlanta, menamatkan kejohanan persahabatan pramusim itu di tangga teratas dengan tujuh mata hasil kemenangan ke atas West Ham 2-1 dan Bournemouth 4-1 dalam dua perlawanan terdahulu.
“Kami menunjukkan peningkatan yang positif. Saya percaya kelab sedang melakukan yang terbaik dalam kemampuan mereka,” kata Fernandes.
“Kami memerlukan lebih banyak persaingan dalam kalangan pemain sedia ada. Kami juga perlukan tambahan kualiti supaya setiap pemain terdorong bekerja lebih keras untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.
“Saya rasa itu yang sedang diusahakan oleh kelab dan pengurus, dan kami berharap dapat membawa masuk satu atau dua pemain lagi untuk memperkuatkan pasukan,” tambahnya.
Manchester United menamatkan musim lalu di kedudukan ke-15 Liga Perdana Inggeris dengan hanya 11 kemenangan dan sembilan keputusan seri daripada 38 perlawanan — pencapaian terburuk mereka sejak penyingkiran pada musim 1973/74.
“Saya rasa ramai yang terkesan dengan keadaan ini. Peminat membayar harga tinggi untuk tiket dan kami amat menghargai sokongan mereka.
“Di kelab bola sepak seperti ini, anda tidak boleh melakukan kesilapan sama ada di dalam atau luar padang kerana nama kelab ini sangat besar di peringkat global.
“Budaya kelab ini adalah budaya kemenangan. Ia pernah wujud, dan kami perlu mengembalikannya,” katanya lagi.
Dalam perlawanan tersebut, Fernandes membuka jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-19 selepas James Tarkowski menjatuhkan Amad Diallo dalam kotak penalti.
Everton menyamakan kedudukan pada minit ke-40 menerusi jaringan Iliman Ndiaye hasil hantaran Idrissa Gana Gueye.
Mason Mount kemudian meletakkan United kembali di depan pada minit ke-69 selepas menerima hantaran daripada Fernandes.
Bagaimanapun, kedudukan kembali seimbang pada minit ke-75 apabila jaringan sendiri Ayden Heaven menghadiahkan Everton gol penyamaan untuk keputusan akhir 2-2.