
Max Verstappen melakar satu suntikan semangat besar buat pasukan Red Bull apabila berjaya merangkul petak utama (pole position) di Grand Prix Britain. Pelumba Belanda itu kelihatan sangat teruja untuk “mula berlumba”, selepas menewaskan dua pelumba McLaren dalam sesi kelayakan penuh drama.
Walaupun Oscar Piastri sempat catat masa terpantas dalam pusingan pertama Q3, usahanya dalam percubaan terakhir sedikit tergelincir — satu kesilapan yang langsung tidak dilakukan Verstappen. Juara dunia empat kali itu mencatat masa terpantas 1 minit 24.892 saat, iaitu 0.103 saat lebih baik daripada masa terbaik Piastri sebelum itu.
Bercakap selepas keluar dari keretanya, Verstappen mengakui bahawa keadaan cuaca menjadikan sesi kelayakan lebih mencabar daripada biasa.
“Angin memang agak mengacau hari ini,” katanya sambil tersenyum.
“Sepanjang sesi kelayakan, arah angin asyik berubah-ubah. Dengan kereta-kereta F1 ni, memang sangat sensitif terhadap perubahan cuaca begini.”
“Saya cuba kekalkan konsistensi sepanjang sesi, dan nasib baik pusingan terakhir cukup bagus. Silverstone memang litar yang padu untuk kelayakan — semua selekoh perlu diambil secara maksimum. Kena ada komitmen penuh, dan itu yang buat ia seronok!”
Bila ditanya tentang keretanya yang nampaknya diubahsuai dengan kurang ‘downforce’ — yang lebih biasa digunakan semasa perlumbaan, bukan kelayakan — Verstappen menjawab dengan santai:
“Kami agak laju di laluan lurus, tapi jujurnya bukan mudah nak kawal kereta di selekoh berkelajuan tinggi dengan tetapan begini. Tapi hari ini semuanya menjadi.”
“Esok kita tengoklah macam mana. Mungkin hujan turun, mungkin tidak. Tapi buat masa sekarang, saya sangat puas hati dengan keputusan kelayakan ini. Ia memang satu suntikan moral untuk pasukan dan saya tak sabar nak berlumba esok!”
Verstappen akan memulakan perlumbaan dari petak hadapan bersama Piastri di barisan pertama, manakala rakan sepasukan Piastri di McLaren, Lando Norris, bermula di tempat ketiga.
Bila ditanya sama ada dia rasa boleh kekal di depan dua pelumba ‘papaya orange’ itu sepanjang perlumbaan, pelumba berusia 27 tahun itu memberi jawapan jujur:
“Susahlah nak kata, tapi kita akan cuba juga. Yang penting — kita berlumba, kita enjoy, dan kita akan beri yang terbaik!”