
Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa parti itu menyasarkan untuk bertanding di semua kerusi Parlimen yang dimenangi oleh PAS dan BERSATU dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan datang.
Beliau yakin bahawa UMNO berupaya merampas kembali kerusi-kerusi berkenaan sekiranya diberi peluang meletakkan calon, sekali gus memperkukuh kedudukan parti.
Menurutnya, UMNO akan menjalankan kajian dan tinjauan terperinci di semua kawasan terbabit sebelum memuktamadkan calon yang akan bertanding.
“Jika kita bersama PAS dan BERSATU, sedangkan kita hanya ada 26 kerusi, kerusi mana yang mereka sanggup beri kepada kita untuk ditandingi? Sudah tentu tiada.”
“Insya-Allah, kerusi-kerusi yang kini dikuasai oleh PAS dan BERSATU di kawasan tertentu akan kita kaji, dan calon UMNO akan bertanding di sana serta berpotensi untuk menang dalam PRU akan datang,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Perhubungan UMNO Johor merangkap Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Lassim Burhan.
Zahid menegaskan bahawa landskap politik kini jauh berbeza, dan UMNO perlu bergantung kepada rakan dalam Pakatan Harapan (PH) untuk mencipta kemenangan.
Tambah beliau, UMNO kini hanya memiliki 26 kerusi, manakala selebihnya disumbangkan oleh parti komponen BN. Jika BN bertanding menentang BERSATU dan PAS secara bersendirian, BN bakal mengalami kerugian besar.
Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan untuk meneruskan kerjasama politik antara BN dan PH, serta menolak naratif negatif seperti “UMDAP” yang dimainkan pihak lawan.
“Isu UMDAP tidak wujud. Yang bekerjasama ialah BN dan PH. Dalam BN kita ada MCA dan MIC, manakala PH terdiri daripada AMANAH, DAP dan PKR.”
“Kerjasama ini antara gabungan BN dan PH, bukan antara UMNO dan DAP secara langsung. Jangan terperangkap dengan propaganda pembangkang yang berniat memecahbelahkan BN-PH supaya mereka boleh ‘tebuk atap’ semula,” katanya.