
PAS digesa menyatakan pendirian sama ada bersedia menerima Presiden Umno, Zahid Hamidi, sebagai perdana menteri jika Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan selepas PRU16.
Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar, membangkitkan persoalan itu susulan ramalan penganalisis politik Ong Kian Ming.
Ong meramalkan Zahid berpotensi mendapat sokongan Sabah dan Sarawak untuk menjadi perdana menteri jika BN dan PAS atau PN membentuk kerajaan selepas PRU akan datang.
Ramalan Ong Kian Ming
Pada 26 Sept lalu, Ong meramalkan Zahid akan menjadi perdana menteri jika BN dan PN membentuk pakatan serta memenangi PRU16.
Bekas pemimpin DAP itu berkata, PAS mungkin memenangi lebih banyak kerusi berbanding BN. Namun, beliau menjangkakan Zahid akan mendapat sokongan parti dari Sabah dan Sarawak untuk jawatan tertinggi itu.
Persoalan 47 pertuduhan
“Kalau dulu, ketika Zahid mahu menjadi timbalan perdana menteri, 47 pertuduhan menjadi persoalan,” kata Mahfuz dalam kenyataan.
“Kalau hari ini … apakah 47 pertuduhan itu sudah tidak lagi menjadi persoalan?” soalnya.
Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, jika pendirian PAS sudah berubah, parti itu perlu menjelaskan apa yang berubah. Jika pendiriannya kekal, PAS perlu menerangkan bagaimana ia boleh menerima Zahid sebagai perdana menteri.
Menurutnya, persoalan itu bukan bertujuan menghukum Zahid sebelum proses kehakiman selesai. Sebaliknya, ia berkaitan keyakinan, integriti, ketelusan dan standard kepimpinan bagi jawatan tertinggi negara.
Mahfuz mengingatkan bahawa Zahid pernah berdepan 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan Yayasan Akalbudi sebelum dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) pada 2023.
Beliau menambah, isu berhubung keputusan menghentikan prosiding itu masih berjalan. Mahkamah Rayuan pada 7 Mei lalu membenarkan Majlis Peguam meneruskan semakan kehakiman terhadap keputusan peguam negara yang membawa kepada pemberhentian prosiding berkenaan.
Permohonan Zahid dan peguam negara untuk mendapatkan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan pula dijadual didengar pada 8 Okt ini.
Desakan PRU16 awal
Sebelum ini, BN mendesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengadakan PRU16 lebih awal. Desakan itu timbul khasnya selepas hubungan dengan Pakatan Harapan (PH) menjadi keruh susulan pertembungan pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.
PN, yang membantu BN mendapat majoriti dua pertiga di DUN Negeri Sembilan pada PRN 1 Ogos lalu, turut menyokong desakan PRU diadakan awal.
Anwar bagaimanapun menolak cadangan itu. Beliau menegaskan kerajaan masih stabil dan keutamaan segera adalah meningkatkan kesejahteraan rakyat serta menguruskan ekonomi.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.