
Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) disifatkan sudah ada formula di belakang tabir, di tengah-tengah ketidaktentuan mencapai kerjasama menjelang PRN Melaka, kata penganalisis.
Persaingan sengit dan sukar dibaca
Syaza Shukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, berkemungkinan PH dan BN melihat persaingan di Melaka sengit dan sukar dibaca.
Menurutnya, semua pihak mungkin juga menggunakan kenyataan bahawa rundingan masih ‘terbuka’ sebagai ‘leverage’ dalam rundingan.
“Tetapi, saya rasa di belakang tabir mungkin sudah ada formula,” katanya kepada FMT.
Namun, beliau melihat PH mempunyai satu ‘asas’, merujuk kepada pertemuan makan malam PH bersama Bersatu baru-baru ini.
Strategi Umno tekan PAS
Dalam pada itu, Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata kenyataan Pengarah Pilihan Raya PH, Amirudin Shari, yang masih membuka ruang perundingan dengan BN dan Bersatu berkait rapat dengan strategi Umno dalam menentukan rakan kerjasamanya.
Katanya, Umno mungkin menggunakan keterbukaan terhadap PH sebagai strategi menekan PAS supaya menerima cadangan kerjasama dengan BN.
“Perbezaan pendapat kenyataan antara Amiruddin dengan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, adalah kerana strategi Umno itu sendiri.
“Pengerusi BN Melaka, Ab Rauf Yusoh, mengatakan bahawa rundingan yang sepatutnya berlaku minggu ini terpaksa ditunda minggu hadapan.
“Ingatlah, ini strategi untuk memaksa PAS, terutama sekali dalam Perikatan Nasional (PN), untuk menerima cadangan Umno kalau nak bekerjasama dengan mereka. Kalau tidak, PH boleh bekerjasama dengan Umno dalam hal ini,” katanya.
Azmi berkata, Umno juga dilihat mahu menunjukkan bahawa selain PAS, BN turut mempunyai pilihan lain untuk bekerjasama bagi berdepan PRN Melaka.
Amanah lebih berhati-hati
Jelasnya, keadaan itu turut menyebabkan Amanah lebih berhati-hati terhadap kemungkinan kerjasama PH-BN.
Ini kerana kekuatan Umno tertumpu di kawasan majoriti Melayu yang turut menjadi sasaran Amanah.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.