
Keputusan belum dibuat sama ada platform cari jodoh FirstDate bagi kakitangan awam akan diperluaskan kepada orang ramai selepas peringkat rintis, menurut Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech).
Inisiatif rintis itu kini hanya dibuka kepada pegawai awam belum berkahwin berusia antara 21 dengan 35 tahun.
Menjawab pertanyaan Mediacorp pada Khamis (1 Okt), GovTech menyatakan FirstDate dilancarkan untuk menguji pendekatan berbeza dalam mencari pasangan. Ia juga memberi lebih tumpuan kepada nilai dan pilihan bersama yang sepadan.
Menurut GovTech, pendekatan itu bertujuan menawarkan “pengalaman mencari pasangan yang berbeza” kepada para peserta.
FirstDate mula dirintis pada Selasa (29 Sep) dan sudah menarik perhatian media antarabangsa. Permohonan bagi program tersebut ditutup pada 5 Oktober.
Satu padanan pada satu masa
Untuk menyertai FirstDate, peserta perlu mendaftar masuk menggunakan Singpass sebelum menjawab 30 soalan mengenai minat, gaya hidup serta pilihan makanan dan pelancongan.
Soalan turut merangkumi pilihan berkaitan hubungan, termasuk lingkungan usia pasangan yang dipertimbangkan, perkara yang tidak boleh diterima dalam hubungan serta sama ada mereka mahu mempunyai anak.
FirstDate menggunakan algoritma Gale-Shapley Stable Marriage, iaitu kaedah matematik yang memadankan peserta berdasarkan pilihan dan tahap keserasian mereka.
Pengguna menerima satu padanan yang disyorkan bagi setiap kitaran, iaitu sekitar sekali sebulan.
Apabila padanan dibuat, kedua-dua pengguna akan dimaklumkan dan diberi tempoh tiga hari untuk memutuskan sama ada mahu menerimanya.
Profil hanya boleh dilihat oleh individu yang dipadankan. Maklumat perhubungan pula hanya diberikan sekiranya kedua-dua pihak menerima padanan tersebut.
Menurut FirstDate, pendekatan satu padanan pada satu-satu masa bertujuan membolehkan pengguna memberi tumpuan kepada usaha membina hubungan dengan lebih teliti.
Singpass sahkan kelayakan
GovTech menyatakan Singpass digunakan untuk mengesahkan kelayakan peserta, termasuk usia, status perkahwinan dan agensi pemerintah tempat mereka bertugas.
Menurut agensi itu, langkah tersebut memberi lebih kepastian bahawa peserta merupakan individu sebenar yang memenuhi syarat program rintis.
Hackathon dan maklum balas
GovTech belum mendedahkan jumlah peserta memandangkan program tersebut baru sahaja dimulakan pada 29 September.
Idea FirstDate pada asalnya diteroka dalam acara hackathon tahunan GovTech.
Maklum balas dan dapatan daripada program rintis itu akan digunakan untuk membantu pasukan FirstDate memahami aspek yang berkesan serta perkara yang boleh diperbaiki.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.