Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim, tiba di Istana Hinggap di Seremban pada pukul 1.18 petang tadi bagi menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Kenderaan yang membawa Tuanku Muhriz kemudian dilihat memasuki perkarangan istana pada pukul 1.30 petang.
Turut dilihat memasuki perkarangan istana ialah kenderaan yang membawa Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz, dan Tengku Panglima Besar, Tunku Zain Al-'Abidin Tuanku Muhriz.
Desas-desus surat peletakan jawatan
Pertemuan itu berlangsung ketika timbul desas-desus bahawa Ismail akan mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Besar dalam sesi menghadap berkenaan.
Perkembangan terbaharu ini sekali lagi menarik perhatian, susulan persoalan mengenai status peletakan jawatan Ismail yang menjadi bahan perbincangan sejak minggu lalu.
Sementara itu, tiga pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) dijangka menghadap Tuanku Muhriz pada pukul 3 petang ini.
Mereka ialah Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi BN yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan, Mohamad Hasan; dan Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki.
Kedudukan Menteri Besar ditentukan minggu ini
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Negeri Sembilan dijangka mempunyai Menteri Besar baharu bagi menggantikan Ismail.
Kedudukan Ismail difahamkan akan ditentukan pada minggu ini, selepas kesemua 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dan Perikatan Nasional (PN) berpendirian hilang kepercayaan terhadapnya.
Ismail sebelum ini dilaporkan berkata beliau tidak pernah mengemukakan atau memberikan persetujuan terhadap surat peletakan jawatannya yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Besar.
Perkara itu turut disahkan Istana Negeri Sembilan menerusi kenyataan Pengelola Bijaya Diraja, selepas Ismail menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap, Seremban, pada Jumaat lalu.
Isu ketulenan surat peletakan jawatan
Pada 16 November lalu, Setiausaha Agung BN, Zambry Abd Kadir, mengumumkan bahawa Zahid menerima salinan surat peletakan jawatan Ismail.
Namun, Istana Negeri Sembilan pada keesokan harinya memaklumkan bahawa ketulenan surat yang dihantar pada pukul 12.16 tengah malam itu masih belum disahkan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.