Bekas perdana menteri Najib Razak dibenarkan tinggal bersama ahli keluarganya sepanjang menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah, kata Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.
Empat kategori syarat ditetapkan
Saifuddin memberitahu Dewan Rakyat, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan menetapkan empat kategori syarat dalam perintah pengampunan bersyarat Najib.
Syarat itu merangkumi sekatan berkaitan tempat tinggal dan pergaulan, pergerakan dan lawatan, serta penggunaan telefon dan peranti telekomunikasi.
Selain itu, Najib juga wajib menyertai program pemulihan dan intervensi.
Hanya keluarga dibenar tinggal bersama
Menurut Saifuddin, Najib tidak dibenarkan tinggal bersama sesiapa selain ahli keluarganya, termasuk isteri, anak, menantu dan cucu, kecuali mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu.
“Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan sudah menetapkan siapa yang dibenarkan tinggal bersamanya. Individu lain perlu mendapatkan kebenaran bertulis,” katanya.
Beliau berkata, Najib juga tidak dibenarkan menerima pelawat tanpa kebenaran bertulis.
Dilarang guna telefon dan beri kenyataan media
Bekas presiden Umno itu turut dilarang menggunakan telefon atau peranti telekomunikasi selain yang didaftarkan dengan Jabatan Penjara.
Najib juga tidak dibenarkan membuat kenyataan kepada media, muncul di platform media sosial, menghadiri majlis awam atau terbabit dalam kegiatan politik.
Saifuddin menjelaskan, syarat berkenaan bukan ditetapkan khusus untuk Najib semata-mata, sebaliknya turut menjadi panduan bagi mengendalikan kes seumpama itu pada masa depan.
Katanya, Jabatan Penjara juga mempunyai kuasa di bawah Akta Penjara untuk mengenakan syarat tambahan bagi tujuan kawalan dan pengawasan, selain menetapkan prosedur yang diperlukan.
Najib mula menjalani baki hukuman penjara enam tahun bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah pada 10 Nov lalu.
Hukuman itu dijadual tamat pada 23 Ogos 2028.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.