Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75%. Keputusan itu mengambil kira pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan dan prospek inflasi yang stabil.
Menurut bank pusat itu, petunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan ekonomi Malaysia terus kukuh pada suku ketiga 2026. Pertumbuhan itu disokong prestasi eksport yang kukuh dan permintaan domestik yang mampan.
BNM berkata, tahap OPR semasa konsisten dengan prospek kestabilan harga yang berterusan dan pertumbuhan ekonomi mampan.
Inflasi dijangka meningkat sedikit
Bank pusat itu berkata, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing mencatatkan purata 1.8% serta 1.9% sejak awal tahun sehingga kini.
“Menjelang 2027, perkembangan geopolitik, harga komoditi global yang tinggi dan keadaan cuaca buruk dijangka terus memberi tekanan menaik terhadap inflasi.
“Kesannya, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka meningkat sedikit, meskipun kekal terkawal berikutan langkah dasar dalam negeri berterusan serta keadaan permintaan stabil,” katanya dalam kenyataan.
BNM menegaskan, konflik berlarutan di Timur Tengah dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi. Namun, bank pusat itu akan terus memantau keadaan tekanan kos serta permintaan domestik, kerana kedua-dua faktor itu memberi kesan terhadap prospek inflasi.
Pertumbuhan global kekal berdaya tahan
Menurut BNM, pertumbuhan global terus berdaya tahan. Ia disokong pelaburan yang kukuh dalam sektor teknologi dan pasaran buruh yang stabil.
Asas ekonomi negara yang kukuh pula dijangka terus menyokong pertumbuhan ekonomi berdaya tahan pada 2027, dengan sektor luaran kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan.
Bank pusat itu menambah, langkah yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 juga akan memberi sokongan tambahan kepada penggunaan swasta.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.