
Pas mengajak rakyat menyatakan bantahan terhadap kemungkaran yang berlaku dalam pentadbiran negara dengan menyertai Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai di ibu negara.
Presiden Pas, Abdul Hadi Awang berkata bahawa ini merupakan tanggungjawab bersama seluruh rakyat bagi memastikan negara ditadbir secara baik dan berintegriti.
Menurut beliau, kepimpinan adalah amanah terbesar dalam Islam — bukan sekadar menjaga kewangan, tetapi memimpin negara secara adil dan berpandukan ilmu, seperti yang dituntut dalam al-Quran dan sunnah.
“Amanah merangkumi segala tanggungjawab, dan yang paling besar adalah kepimpinan. Apabila urusan umat, rakyat dan negara diserahkan kepada mereka yang tidak adil, maka kita akan berdepan pelbagai masalah. Ada rakyat yang mampu bersabar, namun ada juga yang tidak.
“Dalam al-Quran disebut bahawa antara ciri-ciri mereka yang tidak layak menjadi pemimpin ialah mereka yang bersandar kepada kekayaan, bukan ilmu; yang menipu, serta mengejar kedudukan dan kemuliaan,” katanya dalam ucapannya pada Himpunan Mandat Negarawan di Stadium Suka Menanti, Alor Setar, pada Khamis.
Turut hadir ialah Mahathir Mohamad; Pengerusi Bersatu, Muhyiddin Yassin; Timbalan Pengerusi Bersatu, Hamzah Zainudin; serta Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.
Abdul Hadi menegaskan bahawa penyelesaian kepada krisis ekonomi negara tidak seharusnya bergantung semata-mata kepada pinjaman daripada Bank Dunia, tetapi dengan memanfaatkan aset dalam negara serta ilmu dan kepakaran pakar ekonomi tempatan.
“Kita dapat lihat bagaimana ketagihan terhadap wang telah menjangkiti parti-parti politik dan jentera kerajaan. Rasuah berleluasa kerana gila kepada wang. Bagaimana kita mahu selesaikan masalah rasuah jika pemimpin sendiri melakukan rasuah?” soal beliau.
Beliau turut mengingatkan rakyat agar tidak menyokong pemimpin yang menipu untuk mendapatkan kuasa dan kekayaan, serta menyeru rakyat memilih pemimpin yang benar-benar amanah kerana hanya ALLAH SWT yang menentukan siapa yang layak menjadi pemimpin.
“ALLAH SWT yang menentukan siapa yang menjadi pemimpin, dan rakyat bertanggungjawab untuk memilih yang terbaik,” ujarnya.
Abdul Hadi juga menyeru agar semua lapisan masyarakat memainkan peranan dalam mencegah kemungkaran dalam pentadbiran negara.
“Kita perlu menyahut tanggungjawab besar ini. Jika kita berdiam diri, bala bencana akan menimpa. Ini adalah kewajipan besar untuk semua,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa himpunan pada 26 Julai bertujuan menyatakan tentangan terhadap kemungkaran demi menyelamatkan negara dan masa depan rakyat — sama ada di dunia mahupun di akhirat.