Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak peletakan jawatan seseorang menteri kerana perkara itu diperuntukkan secara jelas mengikut Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan.
Pakar perlembagaan, Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, berkata menteri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) atas nasihat Perdana Menteri. Seseorang menteri juga berhak meletakkan jawatan tanpa perlu mendapatkan kelulusan Perdana Menteri.
Menurut beliau, Perkara 43(5) menetapkan menteri memegang jawatan selama diperkenankan YDPA. Peruntukan itu turut membezakan dua cara tempoh jawatan menteri berakhir, iaitu pembubaran Parlimen dan Perdana Menteri hilang undi kepercayaan majoriti.
Perdana Menteri pula boleh memujuk seseorang menteri menarik semula hasrat meletakkan jawatan. Selain itu, beliau boleh menentukan bila mahu menasihati YDPA berhubung pengganti atau agihan semula fungsi kementerian, serta menguruskan peralihan pentadbiran.
Peletakan jawatan hak menteri sendiri
“Pelucutan jawatan menteri dibuat oleh YDPA atas nasihat Perdana Menteri. Perdana Menteri hanya mempunyai peranan untuk menasihati. Peletakan jawatan ialah hak menteri sendiri dan peruntukan ini tidak mensyaratkan penerimaan oleh sesiapa.
“Oleh itu, perkataan ‘terima’ atau ‘tolak’ tidak terdapat dalam peruntukan berkenaan. Jika kedudukan ini ingin dibahaskan, ia perlu kembali kepada perkenan YDPA, bukan Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Anwar belum putuskan peletakan jawatan Loke
Semalam, media melaporkan Anwar Ibrahim menegaskan tiada keperluan untuk beliau tergesa-gesa membuat keputusan berhubung peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan.
Perdana Menteri mengesahkan sudah menerima surat peletakan jawatan daripada Setiausaha Agung DAP itu, namun memerlukan masa untuk menelitinya.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fauzi berpandangan kenyataan Loke yang meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta itu sudah sah dan perlu dimaklumkan kepada YDPA secara rasmi.
“Apabila pengetahuan itu sampai kepada YDPA pada bila-bila masa selepas pengumuman itu, peletakan jawatan itu menjadi sempurna mengikut peruntukan Perlembagaan. Kerana YDPA yang melantiknya, secara beradab, ia perlu dipersembahkan kepada YDPA sama ada oleh Loke sendiri atau pihak lain.
“Beliau (Loke) tidak wajar lagi melaksanakan apa juga tugasan seorang menteri selepas pengumuman itu, kerana tindakan peletakan jawatan itu tidak terikat dengan syarat lain mengikut Perlembagaan,” katanya.
Bagaimanapun, jika Perdana Menteri masih mahukan perkhidmatan Loke, beliau boleh menasihati YDPA untuk membuat pelantikan baharu.
Wan Ahmad Fauzi berkata, pelantikan serta peletakan jawatan menteri tidak boleh diremehkan kerana ia menyentuh kewajipan Perlembagaan dan tugas kepada YDPA untuk mentadbir kerajaan Baginda.
“Tiada isu penangguhan oleh Perdana Menteri kerana peletakan jawatan menteri turut termasuk dalam pengecualian bagi memegang jawatan selama mana perkenan YDPA.
“Setiap ahli Jemaah Menteri terikat dengan prinsip tanggungjawab bersama (Perkara 43(3)). Seorang menteri yang mengisytiharkan secara terbuka beliau menarik diri kerana tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan sukar dianggap ingin terikat dengan tanggungjawab bersama itu,” katanya.
Pandangan berbeza: Perdana Menteri ada budi bicara
Sementara itu, pakar perlembagaan, Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod, berpandangan Perdana Menteri juga mempunyai budi bicara untuk menerima atau menolak peletakan jawatan seseorang menteri.
“Daripada sudut perlembagaan, Perdana Menteri mempunyai kuasa memecat anggota Kabinet. Beliau mencadangkan senarai Kabinet kepada YDPA dan YDPA melantik, begitu juga dengan pemecatan. Pada saya, Perdana Menteri juga mempunyai budi bicara menerima atau menolak peletakan jawatan.
“Kalau Perdana Menteri menolak peletakan jawatan, menteri tidak boleh berhenti. Undang-undang Perlembagaan tidak menyebut mengenai peletakan jawatan. Terpulang kepada Perdana Menteri dan menteri itu sendiri,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.