Pakatan Harapan (PH) masih berpeluang meraih sokongan pengundi muda Melayu walaupun sebahagian besar golongan itu memilih Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada PRN Melaka Sabtu lalu, menurut seorang ketua badan pemikir.
Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, berkata pengundi muda yang pulang ke Melaka untuk menunaikan tanggungjawab mereka memilih untuk mengikut arus “gelombang biru”.
“Namun, jika diteliti kecenderungan politik mereka, parti lain masih mempunyai peluang untuk meraih sokongan golongan ini.
“Golongan muda masih terbuka untuk menyokong parti politik lain,” katanya pada forum membincangkan PRN Melaka hari ini.
“Pada PRN Melaka, mereka tertarik untuk mengikut trend menyokong BN dan PN.”
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pengundi berusia 18 hingga 39 tahun merangkumi 47.3% daripada keseluruhan 687,697 pemilih berdaftar di Melaka.
BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, manakala PN memperoleh tiga kerusi. PH pula memenangi baki empat kerusi, semuanya menerusi DAP.
Kekosongan yang belum diisi
Hisommudin berkata, golongan Melayu berpendidikan universiti lazimnya lebih kritis dan kurang dipengaruhi politik berasaskan identiti, namun potensi mereka masih belum dimanfaatkan parti politik.
“BN mendekati golongan mat rempit,” katanya, merujuk kepada istilah yang digunakan bagi menggambarkan pelumba motosikal haram.
“Tetapi graduan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta golongan muda berpendidikan tidak didekati mana-mana pihak.
“Majoriti mereka berkata tidak tahu siapa yang patut disokong. Inilah kekosongan yang perlu diisi.”
Beliau berkata, PH berpeluang menarik sokongan golongan muda menerusi agenda reformasi dan dasar yang diperjuangkannya. Namun, gabungan itu perlu memperbaiki cara menyampaikan mesej kepada mereka.
Pendidikan, TikTok dan budaya FOMO
Seorang lagi wakil Ilham Centre, Abdul Muqit Muhammad, berkata pengundi muda Melayu di Melaka didapati lebih konservatif berbanding jangkaan awal.
Walaupun mendakwa membuat pilihan secara bebas, keputusan mereka masih dipengaruhi ibu bapa, guru, rakan serta persekitaran agama masing-masing.
Menurutnya, mengundi juga semakin menjadi satu bentuk sambutan dalam kalangan anak muda Melayu kerana budaya takut ketinggalan atau fear of missing out (FOMO). Budaya itu mendorong sesetengah mereka keluar mengundi dan menunjukkan kepada orang lain bahawa mereka sudah menunaikan tanggungjawab itu.
Muqit berkata, PH boleh membina semula sokongan golongan muda dengan mendekati gerakan masyarakat sivil dan memperjuangkan isu hak asasi manusia.
Bagaimanapun, cara kerajaan pimpinan PH melayan aktivis, termasuk mereka yang terlibat dalam pertubuhan masyarakat sivil diterajui golongan muda seperti Mandiri, berisiko menyebabkan golongan itu semakin menjauhkan diri.
Mandiri kini disiasat berhubung dakwaan pengubahan wang haram. Penahanan pengarah eksekutif dan pengarah kewangan pertubuhan itu turut mengundang kecaman.
Muqit berkata, media sosial pula lebih banyak mempengaruhi emosi pengundi muda berbanding meningkatkan pengetahuan politik mereka.
Di TikTok, golongan muda lebih tertarik kepada personaliti calon, sekali gus memberi kelebihan kepada mereka yang bijak memanfaatkan algoritma platform itu. Threads pula menyediakan ruang lebih luas untuk perdebatan politik.
Belum ada pendirian politik yang jelas
Sementara itu, Yusri Ibrahim dari Universiti Malaysia Terengganu berkata, kira-kira 20% pengundi muda masih belum mempunyai pendirian politik yang jelas.
Menurutnya, ada dalam kalangan mereka yang mengkritik BN tetapi akhirnya tetap mengundi gabungan itu kerana PH gagal mendekati mereka.
Pengamal media Nazri Kahar pula berkata, PH sepatutnya mengekalkan hubungan dengan gerakan mahasiswa selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan pada 2018.
Namun, kegagalan berbuat demikian mewujudkan kekosongan yang akhirnya membuka ruang kepada politik berasaskan identiti untuk semakin berkembang.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.