Pemimpin DAP Young, Syefura Othman, mengingatkan pihak yang mahu mencampuri urusan Melayu Islam dan hal ehwal negeri lain supaya bijak membaca keadaan, sambil menyarankan mereka belajar menjaga urusan sendiri.
Penolong setiausaha publisiti DAP itu berkata, tindakan terlalu kerap mencampuri urusan berkenaan hanya menyebabkan orang ramai semakin menyampah dan menjauhkan diri.
Hantaran di Threads
“Hal Melayu Islam nak dicampuri, urusan negeri orang pun nak diatur. Pandai-pandailah baca keadaan.
“Kalau setiap kali masuk campur, orang makin menyampah dan makin menjauh mungkin dah tiba masa belajar jaga urusan sendiri,” katanya dalam hantaran di Threads.
Ahli Parlimen Bentong itu bagaimanapun tidak menamakan mana-mana individu atau merujuk secara khusus kepada sebarang isu dalam hantaran tersebut.
Isu penutupan premis di Terengganu
Kenyataan itu menyusul tindakan Ketua DAP Melaka, Khoo Poay Tiong, yang membangkitkan kebimbangan terhadap arahan penutupan premis perniagaan dari 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap Jumaat di Terengganu.
Khoo berpandangan pelaksanaan peraturan secara menyeluruh boleh menjejaskan kebebasan berniaga dan operasi peniaga bukan Islam yang tidak tertakluk kepada kewajipan solat Jumaat.
Beliau turut mengaitkan peraturan itu dengan pengaruh dasar keagamaan konservatif dalam pentadbiran awam. Namun, Khoo menegaskan bahawa beliau menghormati kewajipan umat Islam menunaikan solat Jumaat.
Khoo menggesa pendekatan yang lebih menyeluruh diambil supaya kepentingan peniaga bukan Islam turut diambil kira.
Teguran Adam Adli
Kenyataan Khoo mendapat teguran Pengarah Komunikasi PKR, Adam Adli, yang menggesa Ahli Parlimen Kota Melaka itu menarik balik kenyataannya dan memohon maaf.
Adam berkata, Khoo perlu menghormati undang-undang negeri dan sensitiviti agama ketika mengulas perkara berkenaan.
“Saya tidak boleh bersetuju dengan kenyataan ini. Saya nasihatkan Khoo agar menghormati kedaulatan undang-undang di negeri masing-masing, serta sensitiviti beragama dalam mengulas perkara ini.
“Sehubungan itu, saya memohon Khoo menarik semula kenyataan berkenaan dan membuat permohonan maaf,” katanya dalam kenyataan.
Pada Januari 2024, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menjelaskan bahawa arahan penutupan selama dua jam itu tidak melibatkan premis milik bukan Islam, kecuali premis makanan yang mempunyai pekerja Muslim.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.