Kegagalan Pakatan Harapan (PH) memahami pengundi Melayu menyumbang kepada prestasi buruknya pada PRN Melaka, walaupun kerajaan persekutuan berusaha menaikkan gaji dan mewujudkan peluang pekerjaan, kata pemerhati politik.
Hisommudin Bakar daripada Ilham Centre berkata, calon-calon Umno menghabiskan masa sepanjang empat tahun lalu memupuk hubungan dengan pengundi. Mereka menjadi begitu mesra dengan penduduk kawasan masing-masing sehinggakan “boleh masuk sampai ke dapur”.
PH pula menumpukan usaha memerangi rasuah dan mempromosikan tadbir urus baik, iaitu isu yang menurutnya tidak terkait dengan kebimbangan pengundi biasa pada peringkat akar umbi.
Politik budi lebih dekat di hati pengundi
“PH buat janji besar yang jauh tersasar daripada jiwa pengundi Melayu. Apa yang mereka mahukan ialah politik budi,” katanya pada satu forum membincangkan PRN Melaka.
Menurut Hisommudin, Umno memahami perkara itu, justeru memastikan hubungan kukuh antara wakil tempatannya dengan pengundi.
Pilihan raya pada 14 Nov itu menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, diikuti PH dengan empat kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dengan tiga kerusi.
Hisommudin berkata, naratif antirasuah PH sebahagian besarnya hanya menarik minat penyokong sedia ada, namun gagal menambat hati pengundi atas pagar.
Malah, belanjawan persekutuan juga terlalu abstrak bagi pengundi biasa, katanya. Beliau membandingkannya dengan naratif “Makcik Kiah” bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin semasa wabak Covid-19 yang lebih mudah difahami pengundi.
Pengamal media Nazri Kahar pula berkata, BN dan PN bergantung pada dua mesej kempen yang konsisten, iaitu perpaduan Melayu-Islam dan ancaman yang dianggap datang daripada DAP.
“Mesej itu senang dihadam. Orang ramai tidak perlu fikir panjang,” katanya.
“Mereka undi berdasarkan apa yang diterima, apa yang dilihat dan apa yang dirasai.”
Hisommudin berkata, jentera pilihan raya PH menunjukkan tanda-tanda kelemahan sejak hari pertama kempen. Sementara itu, kerjasama antara BN dan PN telah dipupuk melalui rangkaian agama dan komuniti, lama sebelum hari mengundi.
Anwar berjasa, BN dapat nama
Nazri berkata, walaupun kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim membelanjakan berbilion ringgit untuk bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), BN tetap mampu menambat hati pengundi hanya dengan mengagihkan bakul makanan.
“Mereka ini berinteraksi dengan rakyat setiap hari,” katanya, merujuk petugas akar umbi BN.
Dalam pada itu, ahli akademik Abdul Muqit Muhammad berkata, kepuasan terhadap kepimpinan Anwar tidak semestinya diterjemahkan kepada undi untuk PH.
Katanya, walaupun Anwar kerap mengadakan libat urus dengan golongan agamawan, kesan usaha tersebut tidak sampai ke peringkat komuniti setempat.
Cabaran sokongan Melayu dan pengundi India
Hisommudin berkata, kesukaran PH menarik pengundi Melayu mempunyai latar belakang sejarah. Gerakan politik Anwar sebelum ini bergantung pada PAS untuk membawa masuk sokongan Melayu, manakala Bersatu memainkan peranan sama membantu PH meraih kemenangan pada PRU 2018.
Dengan kedua-dua parti itu kini tidak lagi bersama PH, gabungan tersebut berdepan cabaran mendapatkan sokongan Melayu yang mencukupi secara bersendirian, katanya.
Hisommudin turut mengingatkan PH agar tidak mengambil mudah penyokong tradisinya. Beliau merujuk kemerosotan sokongan pengundi India di Melaka daripada kira-kira 55-56% pada 2021 kepada 46% pada pilihan raya Sabtu lepas.
“Pengundi India tidak hantar isyarat yang baik kepada PH,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.