PAS hanya akan mempertimbangkan untuk menyertai Kerajaan Perpaduan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) sekiranya DAP terlebih dahulu dikeluarkan daripada gabungan itu.
Presidennya, Abdul Hadi Awang, berkata beliau hanya akan memberikan jawapan berhubung kemungkinan itu selepas DAP benar-benar tidak lagi menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.
“Tunggu dia (DAP) keluar dulu baru saya jawab,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Terengganu PRU16 dan Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 2.0), di sini semalam.
Bagaimanapun, beliau enggan membuat spekulasi berhubung kemungkinan DAP dikeluarkan daripada Kerajaan Perpaduan.
Perselisihan dasar dan Perlembagaan
Abdul Hadi berkata, perselisihan antara PAS dengan PH selama ini berpunca daripada perbezaan dasar, khususnya yang membabitkan dasar negara dan Perlembagaan yang menyentuh kepentingan serta hak orang Islam.
Katanya, pendirian DAP yang dikaitkan dengan cadangan pindaan Perlembagaan, termasuk pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), antara perkara yang menyebabkan perbezaan pandangan antara kedua-dua pihak.
“Saya sebut tadi, perselisihan kita dengan Pakatan Harapan ini perselisihan dasar. Perselisihan kerjasama yang membabitkan dasar, dasar negara yang membabitkan Perlembagaan.
“Bila DAP dan parti-parti buat kenyataan nak pinda Perlembagaan hak Islam, termasuklah pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sebagainya. Ini perkara yang menyentuh politik orang Islam dan dia tak ubah lagi sikap dia itu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau menyifatkan kenyataan beberapa pemimpin DAP, termasuk Tony Pua, yang didakwa seolah-olah mencabar kewibawaan Yang di-Pertuan Agong sebagai tindakan melampaui batas.
“Itu mereka tanggung sendirilah. Mereka buat, mereka tanggung. Bukan hal kita. Apabila ada adab, mereka tak jaga adab,” katanya.
PAS bersedia bertolak ansur dalam PN
Mengenai persediaan PAS dan BERSATU menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), Abdul Hadi berkata, PAS sentiasa bersedia bertolak ansur dalam kerjasama Perikatan Nasional (PN), termasuk dalam soal pembahagian kerusi.
Katanya, perkara itu pernah ditunjukkan apabila PAS menerima status quo 21 kerusi di Negeri Sembilan, selain memilih bertanding di kerusi yang berpotensi dicabar, termasuk ketika menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau berkata, perbezaan pandangan di peringkat negeri, termasuk dalam kalangan kepemimpinan negeri yang membabitkan empat negeri SG4 iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis, tidak akan menjejaskan keputusan utama kerana pembahagian kerusi ditentukan kepemimpinan pusat parti.
Lantikan ADUN bukan Islam di Terengganu
Mengulas pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan bukan Islam daripada GERAKAN di Terengganu, Abdul Hadi berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan pertimbangan di peringkat nasional bagi membuktikan PAS tidak bersikap perkauman.
Katanya, penglibatan wakil bukan Islam, termasuk daripada Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), dalam pentadbiran negeri bukan sahaja melalui DUN, malah turut diberi ruang menerusi pelantikan dalam majlis daerah, majlis perbandaran dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.