Umno mungkin bersedia menggugurkan Ismail Lasim sebagai menteri besar demi mengekalkan kuasa di Negeri Sembilan, kata penganalisis yang turut memberi amaran kemelut itu boleh menghakis kepercayaan dalam parti.
“Saya melihat Umno sedang mengambil langkah untuk mengorbankan Ismail Lasim sebagai menteri besar,” kata Azmi Hassan dari Akademi Nusantara kepada FMT.
Beliau berkata, pengunduran Adun Juasseh itu dilihat sebagai satu pilihan merungkai kebuntuan antara parti itu dengan istana, sekali gus mengekalkan penguasaan Barisan Nasional (BN) terhadap kerajaan negeri.
Amaran tentang kepercayaan dalam parti
Bagaimanapun, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting memberi amaran bahawa cara parti itu menangani dakwaan peletakan jawatan Ismail boleh menjejaskan kepercayaan antara kepimpinan tertinggi Umno dengan pemimpin peringkat bawahan.
Beliau berkata, pemimpin berkenaan mungkin mempersoalkan mengapa mereka perlu terus setia jika merasakan kepatuhan kepada keputusan parti akhirnya menyebabkan mereka menanggung padah apabila timbul masalah.
“Jika seseorang yang selama ini mematuhi keputusan parti boleh berdepan keadaan seperti ini tanpa penjelasan meyakinkan, apa jaminan perkara sama tidak akan berlaku kepada pemimpin lain?” katanya.
Amaran itu menyusul dakwaan anak Ismail, Naim, bahawa bapanya dijadikan kambing hitam dalam krisis politik yang melanda Negeri Sembilan.
Presiden Umno, Zahid Hamidi, dipetik berkata Ismail berbuat demikian secara sukarela tanpa arahan parti. Beliau turut menegur Naim kerana mencampuri urusan pentadbiran negeri.
Siapa bertanggungjawab?
Zaharuddin berkata, dakwaan Naim memerlukan penjelasan daripada kepimpinan pusat Umno.
“Jika beliau hanya melaksanakan arahan, kepimpinan mesti menjelaskan siapa yang membuat keputusan dan siapa yang patut bertanggungjawab.”
Menurutnya, tidak wajar pemimpin parti hanya berkongsi pujian ketika semuanya berjalan lancar, tetapi dipersalahkan sepenuhnya apabila timbul masalah.
Beliau berkata, cara isu peletakan jawatan itu dikendalikan turut menimbulkan persoalan sama ada keputusan politik telah mengetepikan tatacara perlembagaan yang sepatutnya dipatuhi.
Kuasa parti terhadap ahlinya, katanya, tidak boleh menggantikan tatacara perlembagaan dalam urusan pelantikan dan pengunduran seseorang menteri besar.
“Istana bukan pejabat setiausaha agung parti, dan perkenan diraja bukan sekadar formaliti untuk mengesahkan keputusan politik yang sudah diumumkan,” katanya.
Kronologi krisis
Setiausaha Agung BN, Zambry Abd Kadir, mengumumkan peletakan jawatan itu pada 16 Nov. Bagaimanapun, istana sehari kemudian memaklumkan pihaknya belum mengesahkan kesahihan surat berkenaan, selain menjelaskan peletakan jawatan itu tertakluk kepada perkenan baginda.
Ismail kekal sebagai menteri besar selepas menghadap Yang DiPertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, sehari kemudiannya.
Pertikaian dengan istana berpunca daripada tindakan Ismail pada September menyokong kenyataan barisan exco negeri yang baru mengangkat sumpah. Kenyataan itu mendakwa Tuanku Muhriz telah diturunkan takhta. Susulan tindakan itu, baginda membatalkan pelantikan kesemua 10 ahli exco.
Pada 18 Nov, Zambry meminta supaya proses berkenaan diberi ruang untuk berjalan, sambil berkata: “Saya tidak mahu membuat sebarang kenyataan yang mungkin disalah tafsir lagi.”
Zaharuddin berkata, Ismail perlu diberi ruang menjelaskan pendiriannya. Namun, beliau menyifatkan peletakan jawatan secara sukarela tidak melepaskan kepimpinan parti daripada tanggungjawab menjelaskan pengumuman berkenaan.
“Kenyataan presiden sahaja tidak memadai tanpa ketelusan,” katanya.
Beliau memberi amaran bahawa keputusan Majlis Tertinggi Umno yang dianggap tidak adil boleh menimbulkan kekecewaan dalam kalangan pemimpin akar umbi parti.
“Yang lebih berbahaya bagi Umno bukan kehilangan seorang menteri besar, tetapi risiko kehilangan kepercayaan pemimpinnya sendiri,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.