Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim, membawa isu pengurangan premium tanah kepada Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) ke Dewan Rakyat. Premium itu dikurangkan daripada anggaran RM4.67 juta kepada hanya RM1,000.
Beliau mengemukakan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) bagi mendapatkan penjelasan kerajaan berhubung asas penilaian dan justifikasi pengurangan premium tanah berkenaan. Ia termasuk syarat pemberimilikan serta tempoh pajakan sehingga 99 tahun.
Usul itu turut mempersoalkan konsistensi dasar kerajaan dalam memberikan pengurangan premium tanah kepada institusi dan pertubuhan lain di Wilayah Persekutuan.
Pastikan kriteria sama digunakan
Ahmad Amzad berkata, perkara itu perlu dibincangkan segera kerana keputusan pemberian tanah kerajaan membabitkan kepentingan jangka panjang terhadap aset awam.
Menurutnya, penjelasan kerajaan penting bagi memastikan prinsip dan kriteria pengurangan premium yang sama turut digunakan terhadap permohonan institusi, persatuan, badan kebajikan, rumah ibadat, institusi pendidikan serta organisasi pemeliharaan warisan lain.
“Rakyat berhak mengetahui bagaimana nilai premium ditentukan, apakah justifikasi pengurangan yang diberikan dan sama ada kelonggaran yang dibenarkan oleh undang-undang serta dasar kerajaan turut terbuka kepada semua pihak yang mempunyai kelayakan setara tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang penerima manfaat,” katanya ketika membacakan usul berkenaan.
Beliau turut menegaskan bahawa tanah kerajaan merupakan aset awam yang perlu diuruskan secara telus, adil dan bertanggungjawab.
Sehubungan itu, beliau meminta penjelasan rasmi kerajaan, termasuk pendedahan minit kelulusan, penilaian serta dokumen pertimbangan bagi menjelaskan bagaimana keputusan pengurangan premium berkenaan dibuat.
Dibenarkan dibahas di Kamar Khas
Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, membenarkan usul berkenaan dibahaskan di Kamar Khas selepas berpuas hati ia memenuhi ketiga-tiga syarat yang ditetapkan di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1).
Beliau berkata, usul yang dikemukakan Ahmad Amzad pada 19 November lalu itu merupakan perkara tertentu, melibatkan kepentingan orang ramai dan memerlukan tindakan segera.
“Dengan demikian, saya membenarkan usul ini untuk dirundingkan pada hari ini di Kamar Khas,” katanya ketika membuat keputusan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Usul berkenaan akan dibincangkan di Kamar Khas bagi membolehkan penjelasan lanjut diperoleh daripada pihak kerajaan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.