
Persatuan Pengeluar Perubatan Amerika (AMMA) menggesa kerajaan Amerika Syarikat menolak permohonan pengecualian tarif khas untuk sarung tangan getah dari Malaysia, dengan alasan langkah itu akan menjejaskan peluang pekerjaan dan daya tahan rantaian bekalan AS.
AMMA yang mewakili pengeluar bekalan perubatan dan PPE Amerika, menyeru pentadbiran Trump mengekalkan tarif 25% terhadap import termasuk dari Malaysia, walaupun industri sarung tangan Malaysia sedang melobi.
“Tiada alasan untuk layanan istimewa apabila pengeluar tempatan mampu memenuhi keperluan pekerja kesihatan dan barisan hadapan kami,” kata Pengarah Eksekutif AMMA Eric Axel.
Beliau mengkritik surat daripada Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia yang memberi amaran tarif lebih tinggi akan menjejaskan akses kesihatan AS dan menaikkan kos, sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai menakut-nakutkan dengan premis palsu.
AMMA turut menzahirkan kebimbangan terhadap dasar akses pasaran Malaysia yang terhad dan hubungannya dengan BRICS.
Syarikat sarung tangan AS yang beroperasi di Malaysia turut menyokong pandangan ini. Donny Chan dari Maxter Healthcare berkata pelaburan AS$350 juta syarikatnya di Texas membuktikan masa depan pengeluaran bekalan perubatan AS “terletak di AS”. Ketua Pegawai Eksekutif Nephron Nitrile Alison Bagwell berkata: “Jika mahu akses ke pasaran AS, anda mesti patuh peraturan yang sama—kualiti, ketelusan dan akauntabiliti.”