
Ahli Parlimen Perikatan Nasional gesa pindaan Akta Pemberi Maklumat benar-benar lindungi pelapor, dan mereka mahu perlindungan meliputi media, NGO dan kes gangguan seksual.
Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan menegaskan pindaan tersebut mesti benar-benar menjamin keselamatan dan keadilan kepada pemberi maklumat, bukan sekadar kosmetik atau alat politik.
Beliau mengimbas kembali Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) yang sepatutnya memberi imuniti daripada tindakan sivil, jenayah dan tatatertib.
“Undang-undang sedia ada tidak mencukupi. Ramai memilih untuk senyap atau terus kepada media dan NGO kerana takut risiko,” katanya.
Beliau memetik kes Albert Tei yang dinafikan perlindungan kerana membuat pendedahan kepada media sebelum melapor kepada SPRM.
“Kalau perkara seperti ini tidak diselesaikan, pindaan tidak akan membantu pemberi maklumat.”
Dalam perbahasan Rang Undang-Undang (Pindaan) Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2025 di Dewan Rakyat, Takiyuddin turut mempersoalkan kebebasan Jawatankuasa Perlindungan Pemberi Maklumat yang dicadangkan, kerana pelantikannya hanya dibuat oleh Menteri Undang-Undang. Beliau mencadangkan pelantikan dibuat melalui Jawatankuasa Pilihan Khas atau Yang di-Pertuan Agong.
“Pindaan mesti memperkukuh perlindungan dan menggalakkan rakyat melawan rasuah serta salah guna kuasa.”
Sementara itu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyatakan RUU tersebut tidak menyentuh isu akar umbi, termasuk tiada kuasa semak terhadap agensi penguatkuasaan dan tiada perlindungan bagi kes salah laku seksual.
“Di UK dan Amerika Syarikat, pelapor tetap dilindungi walaupun lapor kepada media atau Kongres. Malaysia perlu mekanisme lebih menyeluruh, termasuk kes politik, korporat atau gangguan seksual.”
Beliau menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Perlindungan Pemberi Maklumat dan meminda frasa “dengan sengaja” dalam Seksyen 11 supaya pelapor tidak dinafikan perlindungan atas alasan teknikal.
RUU Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025 telah diluluskan di Dewan Rakyat semalam.