Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak memutuskan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 sebagai tanda menghormati semangat kerjasama dan persefahaman politik dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Kerajaan Perpaduan.
Keputusan itu diumumkan menerusi kenyataan bersama tiga pemimpin parti, iaitu Penasihat PKR Sarawak Datuk Sri Hafsah Harun, Naib Presiden PKR Pusat Roland Engan dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak Mahmud Epah.
Menurut kenyataan itu, keputusan berkenaan dibuat terutama bagi menghormati semangat kerjasama, permuafakatan dan komitmen politik dalam Kerajaan Perpaduan demi mengekalkan kestabilan politik di peringkat negeri dan Persekutuan.
Langkah itu juga bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak, khususnya dalam usaha melaksanakan tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Pada masa sama, keputusan itu diharap dapat memastikan agenda pembangunan Sarawak, kemajuan ekonomi dan kebajikan rakyat negeri itu terus diberikan perhatian sewajarnya.
PKR Sarawak turut menegaskan komitmennya untuk terus mempertahankan prinsip demokrasi, agenda reformasi dan keadilan sosial, selain mengutamakan kebajikan rakyat serta mengekalkan persefahaman politik yang telah dibina bersama GPS.
Sehubungan itu, MPN PKR Sarawak telah mengarahkan seluruh jentera parti dan kepimpinan di semua peringkat negeri supaya mematuhi serta menghormati keputusan berkenaan.
Mereka juga diminta terus mengekalkan hubungan baik dengan parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya GPS.
“PKR Sarawak akan terus melaksanakan tanggungjawab dan berkhidmat kepada rakyat Sarawak tanpa mengabaikan peranannya di negeri ini,” menurut kenyataan bersama itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Dis sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak ke-13, manakala penamaan calon pada 28 Nov dan pengundian awal pada 8 Dis.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.