Sasterawan Negara Datuk Seri A Samad Said meninggal dunia pada usia 91 tahun pada 6.10 petang Selasa.
Berita pemergian tokoh sastera itu dikongsikan anak keduanya, Helmy Abdul Samad menerusi hantaran di platform Threads.
“6.10. Innalillahiwainnailaihirojiun,” tulisnya ringkas.
Sebelum ini, media melaporkan Allahyarham dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Isnin bagi mendapatkan rawatan akibat masalah kesihatan berkaitan usia.
Menurut laporan Sinar Harian, anaknya Helmy, 63, sebelum ini mengesahkan bapanya turut menghidap diabetes dan keadaan kesihatannya tidak begitu baik.
“Keadaan bapak tidak begitu baik. Sakit tua. Juga ada diabetes. Masuk lewat petang semalam (Isnin),” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini turut mendoakan agar sasterawan tersohor negara itu segera sembuh menerusi hantaran di Facebook.
Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, menyampaikan ucapan takziah atas pemergian tokoh sastera berkenaan.
Beliau memetik bait puisi Allahyarham daripada karya Kita Ini Tetamu Senja yang mengandungi makna mendalam mengenai kehidupan dan kematian.
“Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja bila cukup detik kembalilah kita kepada-Nya.”
Muhammad Kamil berkata pemergian Pak Samad meninggalkan kehilangan besar, namun sumbangan dan karya Allahyarham dalam memperkaya bahasa akan terus dikenang.
“Hari ini, bait itu kita baca dengan rasa kehilangan. Terima kasih, Pak Samad, kerana mengajar kita mencintai bahasa dan berani bersuara untuk mereka yang jarang didengari,” katanya.
Beliau turut menyampaikan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham serta mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan diampunkan segala dosa.
A Samad Said, atau nama sebenarnya Abdul Samad Muhammad Said, dilahirkan di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka. Beliau menerima Anugerah Sastera Negara pada 1985.
Allahyarham yang lebih mesra dikenali sebagai Pak Samad menghasilkan beberapa karya terkenal, termasuk novel Salina yang diterbitkan pada 1961, selain Sungai Mengalir Lesu, Langit Petang dan Hujan Pagi.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.