Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) mengadakan mesyuarat berkala hari ini, yang turut menandakan ulang tahun keempat Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.
Dalam kenyataan media, Ketua Setiausaha PH Saifuddin Nasution Ismail berkata sepanjang empat tahun pentadbiran Anwar, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi membawa Malaysia ke arah yang lebih baik meskipun berdepan cabaran politik, ekonomi dan sosial.
Beliau berkata empat keutamaan menjadi asas pentadbiran kerajaan sepanjang tempoh berkenaan, iaitu:
1. Kestabilan politik – memelihara kestabilan negara dan perpaduan rakyat bagi memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan.
2. Kemakmuran ekonomi – memperkukuh ekonomi, menarik pelaburan, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan daya saing negara.
3. Kebajikan rakyat – membantu golongan yang memerlukan, meringankan beban kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
4. Tatakelola yang baik – memerangi rasuah, mengurangkan ketirisan serta memastikan pentadbiran kerajaan yang telus dan bertanggungjawab.
Saifuddin berkata pihaknya menghargai pencapaian yang diraih sepanjang empat tahun lalu, namun mengakui masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki dan harapan rakyat yang belum dipenuhi.
Sehubungan itu, kerajaan perlu terus menerima teguran, memperbaiki kekurangan dan meningkatkan keberkesanan pentadbiran.
Beliau berkata baki setahun pentadbiran perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi mempercepat pelaksanaan reformasi, memperkukuh ekonomi dan memastikan hasil pembangunan dapat dirasai rakyat dalam kehidupan seharian.
Saifuddin turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan dan kesabaran, selain teguran serta kritikan yang membantu kerajaan menambah baik pentadbiran.
Katanya, amanah yang diberikan akan terus dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan rendah hati.
“Empat tahun kita membina asas. Dalam setahun berbaki, kita mesti bekerja lebih pantas agar rakyat segera merasai hasilnya. Keutamaan kita tetap rakyat dan masa depan Malaysia,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.