Seorang bekas pemimpin Umno mendakwa parti itu menjadikan DAP sebagai “kambing hitam” bagi mewajarkan tindakan keluar daripada kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Puad Zarkashi dalam hantaran di Facebook berkata, Presiden Umno, Zahid Hamidi, mengikut taktik PAS yang cuba menampakkan DAP lebih cauvinis berbanding MCA.
“Mana ada beza antara DAP dengan MCA. Mereka sama-sama bersaing memperjuangkan isu kaum Cina,” katanya.
MCA dikatakan sama seperti DAP
Menurut Puad, pertelingkahan terbaru antara ketua Pemuda MCA dan ketua Pemuda Umno mengenai pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) ialah contoh paling nyata bahawa MCA “sebiji macam DAP”.
Beliau turut mempersoalkan mengapa Umno kini menyalahkan DAP, sedangkan sebelum ini parti itu tidak begitu mengambil peduli mengenai slogan “No Anwar, No DAP” yang dipromosikan kumpulan menentang Zahid.
“Kenapa? Ia jalan keluar tinggalkan PH. Kerana ia lebih cepat bantu Umno kembali dominan dan Zahid terjamin menjadi perdana menteri ke-11,” katanya.
Cabaran kepada Umno
Bekas Adun Rengit itu mencabar Umno menyebut mana-mana dasar atau program Melayu-Islam yang dihalang oleh menteri-menterinya sepanjang empat tahun parti itu berada dalam kerajaan perpaduan.
“Apa agenda Mara yang terhalang? Apa perancangan Felda, Felcra, Teraju, Tabung Haji dan UiTM yang terhalang kerana sekatan DAP?” soalnya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.