Kementerian Pendidikan (KPM) bercadang mewajibkan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu mulai 2029, selepas pelaksanaan secara pilihan pada 2027 dan 2028.
Ketua Pengarah Pendidikan, Mohd Azam Ahmad, berkata tempoh tiga tahun itu dimanfaatkan bagi memastikan persediaan kurikulum, latihan guru, prasarana dan bilik darjah dilaksanakan secara berterusan.
“Apabila kita tetapkan wajib pada 2029, bermakna usaha ini akan dilaksanakan dari hari ini, 2026, sampailah 2029.
“Kita tidak mahu inisiatif yang sudah dirancang ini akhirnya terhenti sebelum dilaksanakan sepenuhnya,” katanya pada sesi Taklimat KPM bersama Media hari ini, lapor Harian Metro.
KPM yakin mampu laksana dasar wajib
Mohd Azam berkata KPM yakin mampu melaksanakan dasar berkenaan, termasuk menerusi teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang membolehkan pembinaan bilik darjah disiapkan dalam tempoh tiga bulan.
Katanya, kementerian turut mempunyai mekanisme lain untuk mengurus penempatan murid, termasuk sistem persekolahan dua sesi dan penyuraian murid ke sekolah yang mempunyai enrolmen lebih rendah.
Aspek kurikulum dan latihan guru juga disesuaikan dengan keperluan pembelajaran kanak-kanak berusia enam tahun, selain mengambil kira perubahan cabaran pendidikan pada masa depan.
“Anak-anak pada usia muda pun sudah mempunyai akses kepada pengetahuan dan maklumat yang luas. Jadi, potensi mereka perlu dimanfaatkan,” katanya.
Beliau menambah, pelaksanaan dasar wajib itu memerlukan pindaan Akta Pendidikan, manakala rayuan kemasukan secara pilihan diteliti berdasarkan kesediaan bilik darjah dan kapasiti sekolah.
Setakat 30 September lalu, KPM menerima 491,649 permohonan pendaftaran Tahun Satu bagi Kalendar Akademik 2027. Daripada jumlah itu, 73,498 membabitkan kanak-kanak kohort usia enam tahun dan 418,151 kohort usia tujuh tahun.
Kelas khusus murid autistik
Dalam pada itu, KPM akan memperkenalkan kelas khusus untuk murid autistik bermula tahun depan sebagai sebahagian usaha memperkukuh sistem pendidikan khas negara.
Mohd Azam berkata langkah itu diambil kerana keperluan pembelajaran murid autistik berbeza berbanding murid pendidikan khas lain, selain jumlah murid autisme yang dikenal pasti meningkat setiap tahun.
“Pada masa ini, kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) mencampurkan murid yang menghidap autisme, murid sindrom Down dan murid lewat perkembangan dalam satu kumpulan. Inisiatif terkini ini adalah untuk mewujudkan kelas khas bagi murid-murid autistik.
“Kita lihat dari segi data jumlahnya makin meningkat dan kita perlu memberikan perhatian yang lebih fokus kepada mereka,” katanya kepada media selepas sesi taklimat itu.
Secara idealnya, kata beliau, sebuah kelas PPKI menempatkan tujuh murid dengan bimbingan seorang guru pendidikan khas dan seorang Pembantu Pengurusan Murid, namun ada kelas yang kini menempatkan sehingga 10 murid.
Justeru, KPM sedang membina bilik darjah tambahan secara terancang, termasuk untuk pendidikan khas, bagi memenuhi keperluan kemasukan murid setiap tahun. Inisiatif berkaitan pendidikan khas murid autisme itu juga sudah diumumkan dalam Belanjawan 2027.
Bagi kemasukan murid pendidikan khas ke Tahun Satu sesi 2027, setakat ini terdapat 9,997 kanak-kanak berusia tujuh tahun dan 656 kanak-kanak berusia enam tahun.
Sekolah Sukan Pendidikan Khas pertama
Mohd Azam turut memaklumkan Sekolah Sukan Pendidikan Khas pertama negara di Bandar Enstek, Negeri Sembilan, dijangka mula mengambil pelajar Tingkatan Satu pada tahun depan.
Menurutnya, sekolah itu hampir siap dengan baki kerja pembinaan hanya dua hingga tiga peratus. Permohonan sudah dibuka dan penempatan akan dilaksanakan pada suku pertama tahun depan.
“Sebenarnya ini adalah peluang untuk kita mengangkat martabat sistem pendidikan negara dengan mengangkat potensi anak-anak kita selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu melahirkan insan yang seimbang daripada aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.