Cadangan Amanah menyegerakan pembentukan “khemah besar” yang melibatkan Bersatu sukar dicapai selagi perbezaan dalaman Pakatan Harapan (PH) belum selesai dan DAP kekal menolak kerjasama itu, kata penganalisis.
Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berkata, Amanah perlu memahami bahawa pembentukan khemah besar bukan sekadar menggabungkan kekuatan parti, tetapi memerlukan persetujuan bersama, keserasian politik serta keyakinan sesama rakan komponen.
DAP lebih kuat selepas PRN Melaka
“Keputusan PRN Melaka yang menyaksikan DAP memenangi semua empat kerusi PH memberikan kelebihan politik dan kedudukan tawar-menawar yang lebih kuat kepada DAP.
“Sebaliknya, kegagalan Amanah memenangi sebarang kerusi sedikit sebanyak mengehadkan pengaruhnya untuk mendesak perubahan pendirian rakan komponen,” katanya kepada FMT.
Menurut beliau, atas sebab itu keutamaan PH ketika ini ialah menyelesaikan perbezaan dalaman terlebih dahulu sebelum memperluaskan kerjasama politik menjelang PRU16.
Tawfik berkata, cadangan Amanah untuk mempercepatkan pembentukan khemah besar merupakan usaha mencari formula politik baharu selepas prestasi kurang memberangsangkan PH dalam PRN Melaka.
“Bagaimanapun, usaha ini sukar direalisasikan sekiranya DAP masih berpegang teguh kepada pendirian menolak kerjasama dengan Bersatu.
“Amanah juga perlu mengemukakan justifikasi politik yang lebih meyakinkan, khususnya bagaimana kerjasama dengan Bersatu mampu memperluaskan sokongan pengundi Melayu tanpa menjejaskan sokongan tradisi PH,” katanya sambil menegaskan keputusan perlu dibuat secara konsensus.
PH perlu pulih kepercayaan pengundi Melayu
Sementara itu, Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, PH perlu segera bertindak untuk mendapatkan semula kepercayaan pengundi Melayu menjelang PRU16.
Beliau berkata, masa depan calon Melayu PH pada PRU16 bagaikan telur di hujung tanduk susulan perpindahan undi yang tinggi antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN), seperti dibuktikan dalam PRN Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
Menurutnya, DAP yang umumnya mengelak bertanding di kawasan majoriti Melayu perlu lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan sensitif atau perkauman yang boleh mengguris hati pengundi Melayu.
Pendirian Amanah mengenai khemah besar
Jumaat lalu, Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil, mengulangi pendirian bahawa kerjasama politik diperluas kepada parti di luar PH, termasuk Bersatu, sambil menggesa penjajaran politik baharu berasaskan konsep khemah besar disegerakan.
Faiz berkata, langkah itu penting untuk membina kerjasama politik yang lebih luas, khususnya dengan parti yang mempunyai asas sokongan Melayu.
Katanya, kerjasama itu perlu berpaksikan agenda bersama yang jelas, terutama dalam memerangi rasuah, memperkukuh tadbir urus dan mengutamakan kepentingan rakyat.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.