Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat (AS) menyenaraihitamkan tiga syarikat Malaysia berikutan kebimbangan bahawa mereka mungkin terlibat dalam penyaluran perkakasan pengkomputeran canggih kepada pengguna yang tidak dibenarkan.
MSFusion Sdn Bhd, PT Megaspeed International dan Speedmatrix Sdn Bhd merupakan antara tujuh syarikat dari Malaysia, Singapura dan Thailand yang dimasukkan ke dalam Senarai Entiti Biro Industri dan Keselamatan AS (BIS).
Tindakan itu diumumkan menerusi peraturan muktamad bertarikh 23 Nov, yang dijadualkan diterbitkan dalam Federal Register pada 25 Nov.
Empat syarikat lain ialah Megaspeed International Pte Ltd, Apex Enterprise Solutions (Singapore) Pte Ltd dan Swiftdata Pte Ltd dari Singapura, serta Megaspeed (Thailand) Co Ltd.
BIS menyatakan terdapat “risiko ketara” bahawa syarikat-syarikat berkenaan mungkin terlibat dalam penyelewengan barangan pengkomputeran canggih kepada pengguna akhir atau bagi tujuan yang tidak dibenarkan.
Susulan keputusan itu, kesemua tujuh syarikat perlu mendapatkan lesen bagi barangan yang tertakluk kepada peraturan eksport AS. Setiap permohonan pula akan dinilai berdasarkan dasar “anggapan penolakan”.
Speedmatrix merupakan anak syarikat Megaspeed yang berpangkalan di Singapura, sebuah syarikat pengkomputeran awan dan rakan niaga Nvidia yang disyaki membantu menyalurkan cip kecerdasan buatan (AI) yang dikenakan sekatan ke China. Syarikat itu turut dikaitkan dengan siasatan berhubung dakwaan pengintipan yang melibatkan Nvidia.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebelum ini memaklumkan bahawa pihaknya tidak pernah meluluskan sebarang permohonan daripada Megaspeed atau Speedmatrix, selain menjelaskan bahawa Speedmatrix merupakan penyewa di pusat data di Malaysia.
MITI turut menyatakan bahawa pengimportan cip AI ke Malaysia pada masa ini tidak memerlukan permit atau lesen. Bagaimanapun, sejak Julai tahun lepas, syarikat diwajibkan mendapatkan permit untuk mengeksport, mengeksport semula atau memindahkan cip AI berprestasi tinggi buatan AS melalui Malaysia.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.