Singapura menaikkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi 2026 kepada sekitar 6 peratus berbanding unjuran terdahulu antara 4.5 hingga 5.5 peratus, didorong permintaan kukuh berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (METI) berkata ekonomi republik itu berkembang 6.1 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2026, sedikit perlahan berbanding pertumbuhan 6.4 peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya.
Pertumbuhan itu disokong oleh sektor perdagangan borong, pembuatan serta kewangan dan insurans. Secara keseluruhan, ekonomi Singapura mencatatkan purata pertumbuhan 6.2 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Pada Ogos, METI telah menyemak naik unjuran pertumbuhan KDNK 2026 selepas mendapati kesan ekonomi daripada konflik di Asia Barat tidak seteruk jangkaan awal, manakala peningkatan pelaburan AI global dijangka memberikan sokongan besar kepada pertumbuhan.
Sejak itu, pengeluaran dan eksport berkaitan AI terus berkembang pesat, didorong pembinaan pusat data yang lebih rancak daripada jangkaan. Momentum berkenaan dijangka berterusan sehingga akhir tahun ini.
Menurut kementerian itu, prospek permintaan luar Singapura juga bertambah baik berbanding penilaian pada Ogos, meskipun harga tenaga yang tinggi menyumbang kepada tekanan inflasi global dan dasar monetari lebih ketat di beberapa negara.
Bagaimanapun, pertumbuhan KDNK Singapura dijangka sederhana kepada antara 2.5 hingga 4.5 peratus pada 2027, apabila kadar perkembangan pelaburan AI dan eksport berkaitan teknologi itu dijangka perlahan berbanding paras tinggi yang dicatatkan tahun ini.
METI berkata bekalan minyak dari Asia Barat dijangka pulih secara berperingkat, disokong penggunaan laluan pengangkutan alternatif yang lebih meluas, termasuk saluran paip di rantau Teluk. Perkembangan itu dijangka membantu meredakan harga tenaga global dan tekanan inflasi.
Pada masa sama, pertumbuhan pelaburan baharu dalam bidang AI dijangka sederhana berbanding paras tinggi pada 2026, manakala pertumbuhan ekonomi kebanyakan rakan dagangan utama Singapura turut diunjurkan perlahan pada 2027.
Kementerian itu turut memberi amaran bahawa risiko terhadap pertumbuhan ekonomi global masih wujud, termasuk ketidaktentuan mengenai kemampanan kitaran pelaburan AI global, kemungkinan konflik di Asia Barat semakin memuncak serta ketidaktentuan ekonomi dan politik dunia.
METI berkata pihaknya akan terus memantau perkembangan ekonomi global dan domestik sepanjang tahun hadapan serta menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK sekiranya perlu.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.