Kadar premium nominal RM1,000 bagi pajakan 99 tahun tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) diluluskan jawatankuasa yang dipengerusikan ketua setiausaha negara (KSN), bukan keputusan peribadi, kata Hannah Yeoh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu menegaskan keputusan tersebut dibuat Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 14 Sept lalu. Keputusan itu dibuat susulan permohonan serah balik dan pemberimilikan semula tanah mengikut Seksyen 197 dan Seksyen 76 Kanun Tanah Negara bagi kegunaan institusi sahaja.
Menurutnya, kadar RM1,000 itu selaras dengan Kaedah 10 Kaedah-kaedah Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1995, selepas syarat nyata ditukar daripada komersial kepada institusi, dan mengambil kira status warisan kebangsaan sejak 2007.
“Untuk isu tanah, semua itu dikawal oleh Kanun Tanah Negara dan Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dipengerusikan oleh KSN.
“Saya tidak ada kuasa (untuk menurunkan atau mengubah keputusan itu),” katanya ketika menggulung perbahasan usul Kamar Khas di Dewan Rakyat.
Bukan keistimewaan khusus
Yeoh berkata, kadar nominal itu bukan perkara baharu atau keistimewaan khusus kerana tujuh pertubuhan lain di Kuala Lumpur sebelum ini turut menerima kadar RM1,000 bagi pajakan 99 tahun di bawah kaedah sama. Antaranya ialah Yayasan Tuanku Bainun, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Katanya, kutipan sewaan dewan itu hanya menampung kurang 20% kos operasi dan penyelenggaraan bangunan warisan tersebut. Syarat sekatan, termasuk larangan pajak gadai tanpa kelulusan bertulis jawatankuasa tanah, juga kekal terpakai.
Beliau turut memberi jaminan kelulusan itu tidak menjejaskan status tanah rizab Melayu di ibu kota yang kekal seluas 2,477.375 ekar, manakala proses pengezonan kampung tradisi seperti Kampung Sungai Penchala dan Kampung Bukit Lanjan sedang berjalan.
Tuntutan penjelasan pembangkang
Terdahulu, Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu) ketika membentangkan usul itu menuntut penjelasan berhubung penurunan hampir 99.98% daripada anggaran premium asal RM4.67 juta kepada RM1,000, serta jaminan penggunaan tanah kekal untuk tujuan institusi.
Perbahasan turut disertai Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu), Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) dan Awang Hashim (PN-Pendang). Mereka mempersoalkan formula penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), permohonan awal ketika pajakan asal tamat pada 2034, serta keadilan kepada institusi lain.
Sesi tegang di Dewan Rakyat
Sesi berkenaan sedikit tegang apabila Chow Yu Hui (PH-Raub) dan Tan Hong Pin (PH-Bakri) membantah kenyataan Rosol berkaitan penggunaan bahasa Mandarin dalam majlis sebelum ini. Timbalan Speaker Dewan, Ramli Mohd Nor, kemudian mengarahkan bahagian kenyataan yang boleh menyinggung perasaan kaum ditarik balik.
Sementara itu, Ahli Parlimen kerajaan termasuk P Prabakaran (PH-Batu), Suhaizan Kaiat (PH-Pulai), Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) dan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) turut mempertahankan kelulusan berkenaan atas dasar pemuliharaan bangunan warisan sejak 1934, sekatan komersial serta perpaduan nasional.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.