DAP Selangor menerima pelawaan debat daripada MCA negeri itu.
Ia susulan kesediaan Ketua MCA Selangor, Lawrence Low, menyahut cabaran Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook.
Dalam kenyataan, DAP Selangor berkata pihaknya yakin pencapaian kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejak 2008 mampu dipertahankan menerusi perbincangan terbuka mengenai tadbir urus.
“Dalam masyarakat demokratik, perbincangan terbuka tentang tadbir urus baik perlu dialu-alukan.
“Kami yakin pencapaian kerajaan Pakatan Harapan sejak 2008 dapat meyakinkan rakyat,” katanya di Facebook.
Cadangan butiran debat
DAP Selangor berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan tarikh, masa, tempat dan format debat, selain menamakan wakil yang akan mengambil bahagian.
“Kami harap wacana tersebut dapat membentuk budaya politik sihat dan rasional,” katanya.
Bermula daripada pertikaian Loke dan Wee
Cabaran debat itu menyusuli pertikaian antara Loke dan Presiden MCA, Wee Ka Siong, pada 1 November lalu. Ketika itu, Wee menyokong cadangan calon MCA dan DAP berdebat di kerusi DUN Bandar Hilir, Melaka.
Loke pada masa itu mencabar Wee berdebat mengenai pencapaian masing-masing ketika menerajui Kementerian Pengangkutan. Cabaran itu dibuat selepas beliau mempersoalkan tindakan Wee menyokong cabaran debat terhadap calon DAP, Leng Chau Yen, yang bertanding di Bandar Hilir.
Wee kemudian berkata beliau tidak pernah mencabar rekod Loke sebagai menteri pengangkutan. Beliau menyifatkan cabaran debat itu sebagai sesuatu yang membingungkan kerana isu asal berkaitan pertandingan di Bandar Hilir.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.