Adun Dusun Tua, Johan Abd Aziz, akur dengan apa jua keputusan kepimpinan Umno berhubung hala tuju politiknya, susulan hasrat DAP Selangor untuk kembali bertanding di kerusi itu pada PRN akan datang.
Johan berkata, beliau berdiri teguh bersama keputusan kepimpinan parti dan akan melaksanakan sebarang ketetapan yang dibuat.
“Dalam soal politik dan hala tuju parti, saya berdiri teguh bersama keputusan kepimpinan.
“Apa jua keputusan yang ditetapkan oleh parti, itulah yang akan saya akur dan laksanakan,” katanya di Facebook.
Beliau turut menekankan bahawa pembahagian kerusi bagi PRN bukan diputuskan secara sebelah pihak.
“Perkara ini tertakluk kepada perbincangan dan keputusan kepimpinan parti dalam gabungan,” katanya.
DAP mahu kembali bertanding
Semalam, Pengerusi DAP Selangor, Ng Sze Han, mengumumkan hasrat parti itu untuk kembali bertanding di DUN Dusun Tua pada PRN akan datang, selepas memberi laluan kepada Umno pada pilihan raya 2023.
DAP sudah memulakan persiapan dengan melantik Naib Pengerusi DAP merangkap Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, dan Adun Balakong, Wayne Ong, sebagai penyelaras parti di kawasan berkenaan.
Pada PRN Selangor 2023, Johan yang mewakili Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi itu dengan majoriti 3,014 undi.
Kerjasama PH-BN
Pakatan Harapan (PH) dan BN kini bekerjasama dalam kerajaan perpaduan Selangor pimpinan Menteri Besar, Amirudin Shari. Namun, perkembangan politik semasa, terutama dalam PRN Negeri Sembilan dan Melaka, mungkin mengubah situasi.
Menerusi dua pilihan raya itu, BN dan Perikatan Nasional (PN) menjalinkan kerjasama. Segelintir pemimpin kedua-dua pihak pula tidak menolak kemungkinan kerjasama itu bakal diperluaskan sehingga PRU16.
Utamakan kebajikan penduduk
Mengulas lanjut, Johan berkata keutamaannya kini ialah menjaga kebajikan dan kepentingan penduduk Dusun Tua, khususnya menangani masalah banjir yang sekian lama membelenggu kawasan Hulu Langat.
“Saya mahu memastikan setiap usaha yang telah dimulakan dan setiap perancangan yang sedang berjalan dapat diteruskan sehingga mencapai penyelesaian.
“Amanah yang diberikan kepada saya akan dilaksanakan sebaik mungkin sehingga tamat penggal ini,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.