Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad, menolak spekulasi bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan selepas Belanjawan 2027 kerajaan negeri dibentangkan esok.
Beliau berkata, kerajaan negeri masih mempunyai baki kira-kira setahun dalam mandatnya dan sebarang langkah untuk memohon pembubaran mesti disokong alasan yang kukuh dan munasabah.
“Tiada keperluan mendesak untuk saya menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, untuk memohon pembubaran. Kita masih ada setahun lagi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Meet the Clients di Stadium Indera Mulia.
Beliau mengulas spekulasi bahawa DUN akan dibubarkan esok susulan pembentangan belanjawan itu.
Pembubaran prerogatif Sultan
Saarani menegaskan, pembubaran DUN adalah prerogatif Sultan dan bukan keputusan yang boleh dibuat oleh Menteri Besar secara sepihak.
Menurutnya, beliau hanya akan menghadap Sultan untuk memohon pembubaran jika wujud sebab yang kukuh, misalnya rakan strategik menarik diri daripada kerajaan perpaduan sehingga menyebabkan kerajaan hilang majoriti.
“Itu baru alasan yang munasabah,” katanya.
Saarani turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan khabar angin mengenai pilihan raya negeri awal.
“Jangan terima maklumat palsu. Dapatkan maklumat daripada sumber yang betul,” katanya.
Ditanya sama ada kemenangan Umno di beberapa negeri baru-baru ini boleh menjadi pemangkin kepada pilihan raya awal di Perak, beliau berkata momentum politik semata-mata tidak mencukupi untuk dijadikan alasan membubarkan DUN.
“Kita tidak bubar DUN berdasarkan suasana seperti itu,” katanya.
Saarani berkata, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, turut menjelaskan bahawa kemenangan parti itu di tiga negeri tidak semestinya bermakna Pahang dan Perak akan mengikut jejak dengan mengadakan pilihan raya negeri.
Kerjasama BN-PH tiada perubahan
Mengenai sama ada pilihan raya negeri baru-baru ini menjejaskan kerjasama antara BN dan PH dalam kerajaan perpaduan Perak, Saarani menegaskan tiada sebarang perubahan.
Katanya, pentadbiran negeri terus berfungsi seperti biasa dan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berjalan tanpa perselisihan.
“Saya bersyukur dengan rakan-rakan daripada PH. Selagi mandat ada, kita akan fokus kepada pembangunan,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.