DAP Sarawak hanya akan bertanding di satu daripada tiga kerusi di Miri menjelang 12 Dis ini, sambil menyerahkan dua lagi kerusi kepada rakan sekutu dalam Pakatan Harapan (PH), PKR.
Ketua Pemuda DAP Miri, Voon Kai Foo, yang menggantikan bekas calon Alan Ling, akan bertanding di Pujut menentang penyandang, Adam Yii daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), komponen parti pemerintah Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Yii menang kerusi majoriti pengundi Cina itu pada 2021 dengan majoriti 1,566 undi.
Perbincangan bersama PKR
Borneo Post memetik Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, sebagai berkata, keputusan mengecilkan skop penglibatan pilihan raya parti dibuat selepas perbincangan bersama PKR, yang menyatakan hasrat bertanding di Piasau dan Senadin.
Katanya, DAP memilih bertanding di Pujut kerana parti itu mempunyai peluang menang yang lebih cerah, berbanding di Piasau dan Senadin, yang menyaksikan kekalahan masing-masing dengan majoriti 4,988 dan 7,591 undi pada 2021.
Tony Chiew di Tanjong Batu
Chong turut mengumumkan Ketua DAP Bintulu, Tony Chiew, akan bertanding di Tanjong Batu di Bintulu, selepas tewas tipis kepada calon SUPP, Johnny Pang Leong Ming, dengan perbezaan 23 undi pada 2021.
Beliau memaklumkan DAP Sarawak akan membuat lebih banyak pengumuman calon di Sarikei pada Selasa.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.