Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, memohon maaf kepada Malaysia dan Singapura berhubung jerebu rentas sempadan yang menjejaskan kedua-dua negara, walaupun Indonesia giat berusaha menangani kebakaran berkenaan.
“Saya ingin memohon maaf kepada negara jiran, Malaysia dan Singapura, apabila kami berdepan kebakaran hutan yang sangat besar sehingga mengambil masa hampir empat bulan untuk dikawal.
“Jerebu akibat kebakaran itu merebak ke Malaysia dan Singapura,” kata beliau ketika sesi pleno Sidang Kemuncak Asean ke-49 di Manila, Filipina.
Kenyataan itu dikongsikan menerusi saluran YouTube rasmi Sekretariat Presiden Indonesia pada lewat Ahad.
Usaha kawal kebakaran
Prabowo berkata kerajaan Indonesia telah menggerakkan usaha untuk mengawal kebakaran itu, termasuk mengerahkan 71,000 anggota bomba.
Menurut beliau, seramai 16 anggota terkorban dan ramai lagi cedera, manakala operasi berkenaan turut mengakibatkan kehilangan dua buah helikopter.
Di sebalik kesukaran itu, katanya, kebakaran tersebut semakin terkawal walaupun usaha pemadaman menjadi lebih mencabar akibat fenomena El Nino yang disifatkannya sebagai paling buruk dalam tempoh 50 tahun.
Tindakan terhadap syarikat
Mengenai tindakan penguatkuasaan, Prabowo berkata Indonesia telah membatalkan 17 konsesi syarikat, manakala 26 syarikat sedang disiasat dan 11 lagi telah didakwa.
Beliau menambah bahawa 23 syarikat lain turut disenaraikan untuk menghadapi pendakwaan, menjadikan keseluruhan 104 syarikat berada dalam siasatan polis.
“Sekali lagi, bagi pihak kerajaan dan rakyat Indonesia, kami memohon maaf sekiranya telah menyebabkan penderitaan kepada rakyat Singapura dan Malaysia,” katanya.
Agensi baharu untuk cegah kebakaran
Sementara itu, Sekretariat Presiden dalam satu kenyataan memaklumkan Indonesia turut merancang penubuhan sebuah agensi baharu serta memperkenalkan program-program bagi memperkukuh pencegahan kebakaran hutan secara sistematik.
Langkah itu sekali gus memperluas pendekatan negara tersebut melangkaui usaha pemadaman dan mitigasi.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.