Ahli Bersama, parti serpihan PKR, digesa kembali menyertai Pakatan Harapan (PH) bagi mengelakkan perpecahan politik terus melemahkan agenda reformasi.
Bekas ketua DAP Melaka, Damian Yeo, berkata PH telah melalui perjuangan panjang dan membuat pelbagai pengorbanan yang tidak sepatutnya disia-siakan akibat perpecahan.
Dalam hantaran di media sosial, beliau berkata perbezaan pendapat tidak dapat dielakkan. Namun, ia tidak seharusnya membawa kepada perpecahan berpanjangan.
“Perjuangan reformasi lebih besar daripada mana-mana individu atau parti politik. Ketepikan perbezaan peribadi dan bersatulah demi kepentingan bersama,” katanya.
PH turut diingatkan bermuhasabah
Bagaimanapun, Yeo turut mengingatkan pimpinan PH supaya bersedia mendengar pandangan, bermuhasabah dan melakukan pembaharuan.
Bersama tewas di semua kerusi
Gesaan itu dibuat susulan kekalahan Bersama yang dipimpin Rafizi Ramli di semua 16 kerusi yang ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Parti itu turut mengalami nasib sama pada PRN Johor Julai lalu, apabila gagal memenangi sebarang kerusi daripada 15 kawasan yang ditandingi.
Agenda perjuangan Bersama
Bersama, yang turut dianggotai bekas Ahli Parlimen dan pemimpin PKR, mengumumkan agenda perjuangannya pada Mei lalu.
Agenda itu memberi tumpuan kepada reformasi institusi, penjagaan kanak-kanak untuk semua, pengukuhan perlindungan sosial serta pelan mengurangkan jumlah pekerja asing.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.