Empat pemimpin DAP menuntut kepimpinan pusat Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menjelaskan sama ada mereka mengetahui atau merestui tindakan wakil rakyat masing-masing dalam kemelut kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Gesaan itu dibuat selepas Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim, dan 10 bekas exco menarik balik surat yang memaklumkan kononnya Tuanku Muhriz telah diturunkan takhta sebagai Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan.
Dalam kenyataan bersama, empat pemimpin itu mendakwa kepimpinan pusat Umno, PAS, MCA dan Wawasan tidak pernah secara terbuka membantah atau menolak tindakan wakil rakyat masing-masing dalam kemelut berkenaan.
“Kepimpinan pusat BN dan PN wajar menyatakan pendirian mereka secara terbuka sama ada mereka mengetahui dan merestui tindakan Menteri Besar dan bekas Exco,” kata mereka.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan; Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan, Syefura Othman; Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat, Sheikh Umar Bagharib Ali; dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid.
Surat ditarik balik
Semalam, Ismail mengesahkan beliau menarik balik surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Danial Syed Ahmad, berhubung kedudukan Tuanku Muhriz.
Penarikan balik surat itu turut membabitkan sokongan 10 bekas exco terhadap baginda.
Empat pemimpin DAP itu menyifatkan langkah tersebut sebagai bukti kegagalan usaha yang didakwa bertujuan menggulingkan Tuanku Muhriz.
Mohon ampun secara terbuka
Mereka turut menggesa semua pihak yang terbabit memohon ampun secara terbuka kepada Tuanku Muhriz dan Raja-Raja Melayu lain.
Selain itu, mereka mahu Sekretariat Kerajaan Perpaduan menentukan keberadaan BN dan Umno berikutan tindakan yang didakwa telah melanggar garis merah dalam isu itu.
Tuntutan siasatan
Empat pemimpin berkenaan turut menggesa pihak berkuasa mendedahkan hasil siasatan terhadap Ismail dan 10 bekas exco.
Mereka juga mahu pihak yang didakwa terbabit dibawa ke muka pengadilan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.